Mangsa Rasa Tidak Selamat Buat Laporan Polis

TENOM: Mangsa rasa takut dan tidak selamat untuk berkongsi mengenai gangguan seksual yang didakwa dilakukan oleh pendakwah terkenal Ebit Lew.

Itu kenyataan yang dibuat oleh Mohd Fairuz Abu, 37, semasa hadir sebagai saksi pertama pihak pendakwaan pada perbicaraan hari pertama di Mahkamah Majistret hari ini.

Beliau berkata, mangsa pada awalnya takut dan berasa tidak selamat untuk berkongsi namun, selepas tenangkan beliau, baru wanita itu berkongsi dari A-Z.

“Saya cadang kepada beliau (mangsa) untuk buat laporan polis tapi, beliau takut dan berkata ‘saya orang kecil saja, Ebit orang besar jadi, saya tak nak buat report,” katanya dihadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

Saksi turut mencadangkan agar mangsa membuat laporan polis, mangsa meminta waktu bagi berbincang bersama suami. Akhirnya laporan polis dibuat pada 7 Ogos 2021, mangsa memutuskan membuat laporan di Bukit Aman.

Ebit atau nama sebenarnya Ebit Erawan Ibrahim,37, didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita berusia 40-an.

Tertuduh berhadapan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp yang didakwa berlaku di Tenom antara Mac hingga Jun 2021.

Justeru, beliau didakwa dibawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Menurut Mohd Fairuz, mangsa memutuskan untuk membuat laporan polis di luar Sabah bagi melindungi identiti dan keselamatan diri.

Katanya, mangsa memberitahu daerah ini kecil dan ramai orang akan tahu apabila dia membuat laporan maka, laporan polis dibuat di Bukit Aman bagi tujuan keselamatan.

Malah, laporan dibuat di Bukit Aman atas permintaan saksi kerana ada saudara saksi bertugas di Balai Polis Tenom jadi, beliau takut untuk membuat laporan polis di situ.

Jawapan saksi itu mendorong peguam bela, Kamarudin Mohmad Chinki bertanya adakah di balai polis lain di Sabah ada semua keluarga mangsa.

Pihak pembelaan percaya laporan polis di Bukit Aman itu bagi membolehkan mangsa berjumpa dengan saksi untuk bincangkan tentang kandungan laporan yang akan dibuat sebelum mangsa membuat laporan polis.

Pembelaan mengandaikan perkara itu susulan kenyataan Mohd Fairuz semasa menjawab pertanyaan pendakwaan bahawa saksi ada berjumpa dengan mangsa pada 7 Ogos 2021, iaitu semasa laporan polis dibuat.

Perbicaraan disambung semula esok pada jam 9.30 pagi.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida Zakaria, Adibah Saiful Bahri dan Nur Masrin Amalia.

Sementara itu, Ebit diwakili Peguam Ram Singh dan Kamarudin Mohmad Chinki.