Mangsa Kebakaran Pagalungan Perlu Tempat Tinggal Baharu – Ellron

Ellron menyampaikan bantuan barang-barang keperluan harian kepada mangsa kebakaran.
Ellron menyampaikan bantuan barang-barang keperluan harian kepada mangsa kebakaran.

OLEH AMAN KASSIM
KENINGAU: Masalah yang dihadapi oleh mangsa kebakaran di Kampung Pagalungan Ansip terutama tempat tinggal perlu di atasi dengan kadar yang segera.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Ellron Alfred Angin berkata, masalah yang dihadapi oleh seramai 76 orang membabitkan 18 keluarga dan tujuh buah rumah yang terlibat dalam kebakaran pada Ahad perlu diatasi segera.

Katanya, mereka perlu tempat tinggal yang baharu kerana kini mereka kehilangan segala-galanya termasuk barang-barang keperluan harian akibat kebakaran itu.

“Justeru saya meminta agar kerajaan menyalurkan peruntukan khas dengan segera untuk membiayai pembinaan rumah untuk menempatkan keluarga mangsa kebakaran,” katanya kepada media selepas melawat mangsa kebakaran yang ditempatkan sementara di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Ansip pada Isnin.

Ellron mengunjungi mangsa-mangsa kebakaran sambil memberikan semangat agar tabah dan bersabar mengahadapi masalah yang dihadapi.
Ellron mengunjungi mangsa-mangsa kebakaran sambil memberikan semangat agar tabah dan bersabar mengahadapi masalah yang dihadapi.

Dalam lawatan itu Ellron diiringi oleh ketua-ketua jabatan yang berkaitan termasuk dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pertahanan Awan dan Bomba Dan Penyelamat dan Jabatan Pendidikan.

Ellron yang juga Ahli Dewan Undanngan Negeri (ADUN) N.37 Sook berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan segera mengatasi masalah penduduk kampung berkenaan bukan sahaja bagi mereka yang terlibat dalam kebakaran rumah tetapi juga keseluruhan penduduk perlu dipindahkan memandangkan kawasan perkampungan itu juga sering dilanda banjir.

Menurut Ellron, rancangan untuk memindahkan penduduk kampung berkenaan lama dicadang di kawasan yang telah tersedia tetapi ia tidak dapat dilaksanakan kerana kekangan peruntukan dan kemampuan penduduk.

Dalam masa yang sama Ellron juga meminta kepada penduduk di kampung berkenaan agar bersedia berpindah di kawasan baharu yang dicadang untuk keselesaan jangka panjang.

Mengenai dengan penempatan sementara mangsa dalam beberapa bulan ini Ellron berkata, keluarga yang terlibat akan ditempatkan di bangunan sekolah lama SK Ansip yang akan diperbaiki.

Beliau berkata, Pegawai Pendidikan Daerah telah bersetuju untuk menempatkan mangsa kebakaran di bangunan lama itu kerana dewan yang dijadikan tempat tinggal mangsa kebakaran pada masa ini sering digunakan pihak sekolah.

Katanya lagi segala bantuan yang difikirkan perlu juga akan terus disalurkan kepada mangsa bagi mengatasi masalah mereka.

“Jawatankuasa Bencana Alam Daerah akan mengadakan mesyuarat bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mangsa mengikut prosedur yang telah ditetapkan,” kata Ellron.

Sementara itu Pegawai Daerah Keningau Hj. Yusop Hj. Osman berkata, pihaknya akan memastikan bantuan dapat disalurkan kepada dengan sama rata.

Yusop yang juga Pengerusi Bencana Alam Daerah meminta agar Menteri Kemajuan Luar Dan Wilayah yang baharu dapat menyalurkan peruntukan untuk membiayai pembinaan rumah untuk menempatkan mangsa kebakaran dan juga perumahan di kawasan yang telah dicadangkan dalam projek pemindahan mangsa banjir Kg. Ansip yang telah lama dicadangkan.