Mangsa Bot Karam Di Kuala Abai Ditemui

KOTA KINABALU: Mayat mangsa bot karam di sekitar perairan Kuala Abai, Kota Belud pagi semalam ditemukan terdampar di pantai Kampung Kuala Abai pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) menerima maklumat mengenai penemuan satu mayat terdampar di pantai Kampung Kuala Abai kira-kira 7 pagi tadi.

“MRSC Kota Kinabalu telah mengaktifkan operasi CARILAMAT pada 12 tengahari semalam selepas menerima maklumat berkenaan sebuah bot gentian kaca bersama dua nelayan yang telah karam dipukul ombak di sekitar perairan Kuala Abai, Kota Belud.

“Bagaimanapun, adik mangsa, Norzeli Sitong, 35, berenang ke kawasan pantai berdekatan sebelum membuat laporan mengenai kejadian yang menimpa mereka, semalam.

“Mayat Nojan Sitong telah ditemui oleh penduduk kampung yang turut sama melakukan pencarian. Mayat mangsa dibawa ke rumah beliau sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk bedah siasat. Operasi Carilamat ditamatkan pada 8.45 pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Operasi Carilamat mangsa bot nelayan tempatan yang karam di Pulau Segama, Sandakan pada 15 Jan lalu ditamatkan 6.30 petang semalam.

Mohd Rosli berkata, pencarian mangsa yang memasuki hari keempat semalam masih belum menemui sebarang petunjuk positif.

Bagaimanapun, aset -aset yang beroperasi secara rutin harian akan melakukan pemantauan berterusan di lokasi kejadian. Keluasan sektor pencarian selama empat hari itu merangkumi keluasan 754 batu nautika persegi dengan penglibatan sembilan aset dari pelbagai agensi serta jabatan.

Katanya, Maritim Malaysia turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam (JPM) serta semua yang terlibat sepanjang operasi CARILAMAT dijalankan.

Maritim Malaysia turut mengingatkan komuniti maritim terutamanya di perairan Sabah untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau bencana di laut kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387774 atau talian MERS 999.