Mangsa Banjir Meningkat Kepada 348 Orang Di Sabah

Keadaan banjir Penampang-gambar ehsan pengguna Facebook

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Bilangan mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 348 orang dari tujuh daerah setakat 4 petang tadi

Berdasarkan kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, 348 orang mangsa banjir itu terdiri daripada 91 keluarga yang dipindahkan ke sembilan pusat pemindahan sementara (PPS).

Sembilan PPS dibuka di tujuh daerah iaitu di Pitas, Beaufort, Paitan, Kota Kinabalu, Putatan, Penampang dan Kota Belud.

Turut mengalami banjir adalah Tuaran dan Papar namun, belum ada PPS dibuka di kedua-dua daerah ini.

Setakat ini, sebanyak 191 kampung terjejas banjir di kesemua sembilan daerah tersebut.

Di Pitas, hanya satu PPS dibuka iaitu Dewan Kampung Kusilat yang menempatkan 45 orang daripada 10 keluarga.

Untuk daerah Beaufort, PPS Dewan DSP Mohd Dun Banir menempatkan 32 orang daripada 12 keluarga.

Di Paitan, dua PPS dibuka iaitu Dewan Binsulung dan Dewan Kg Kubambangan yang mana ia menempatkan 73 orang dari 22 keluarga.

Sementara di Kota Kinabalu, dua PPS dibuka iaitu Dewan Likas dan Masjid Jamek Kota Kinabalu yang menempatkan 101 orang daripada 18 keluarga.

Di Putatan, PPS Dewan Serbaguna PPR Keramat Ketiau, Putatan dibuka bagi menempatkan 25 orang daripada empat keluarga.

Sementara di Penampang, PPS Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang dibuka bagi menempatkan 38 orang dari sembilan keluarga.

Untuk Kota Belud, PPS Dewan Masyarakat Tun Said dibuka bagi menempatkan 34 orang dari 16 keluarga.

Hujan lebat sejak petang semalam mengakibatkan banjir berlaku di kawasan Pantai Barat Sabah.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) sentiasa melakukan pemantauan di kawasan hotspot banjir di semua daerah.

Oleh itu, semua penduduk kampung di kawasan berisiko banjir dinasihatkan supaya sentiasa peka dan segera berpindah sekiranya keadaan paras air meningkat.

Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking turut turun padang bagi melawat mangsa dan kawasan banjir di sekitar daerah tersebut.

Beliau turut mengadakan lawatan di sekitar Donggongon dan melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang.

Orang ramai di daerah Penampang yang memerlukan bantuan pemindahan dan bantuan makanan boleh menghubungi Bilik Gerakan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah Penampang ditalian 088-726054.