Mangsa Banjir Meningkat Kepada 1,765 Orang Di Empat Daerah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Bilangan mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 1,765 orang yang terdiri daripada 567 keluarga dari empat buah daerah setakat 4 petang tadi.

Empat daerah terjejas banjir adalah Kudat, Kota Marudu, Pitas dan Beaufort. Manakala, satu daerah lagi iaitu Tongod, tiada melibatkan sebarang pemindahan mangsa banjir.

Berdasarkan kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, setakat ini sebanyak 10 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di keempat-empat daerah tersebut.

Setakat ini, sebanyak 90 kampung terjejas di semua lima daerah yang dilanda banjir itu.

Di Kudat, empat PPS dibuka iaitu Dewan SK Tun Mustapa, SK Teritip, SK Sikuati dan Rest House Lama Karakit yang menempatkan 1,300 orang daripada 380 keluarga. Sebanyak 17 buah kampung terjejas banjir di daerah ini.

Sementara itu, di Kota Marudu tiga PPS dibuka iaitu Dewan Kampung Asin-Asin, SR Advent Damai Kota Marudu dan SMK Tandek yang menempatkan 386 orang daripada 166 keluarga.

Manakala, dua PPS dibuka di Pitas iaitu Dewan Kampung Kusilat dan SK Pekan 2 Pitas menempatkan 55 orang daripada 12 keluarga.

Untuk daerah Beaufort, hanya satu PPS dibuka iaitu Dewan DSP Mohd Dun Banir yang menempatkan 24 orang daripada sembilan keluarga.