Mangsa Banjir Meningkat 90 Orang

41
Kerja pemindahan dan penempatan mangsa di PPS Selagon.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
BEAUFORT: Jumlah mangsa banjir di daerah ini meningkat iaitu sebanyak 90 mangsa daripada 31 keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Selagon setakat pukul 8 pagi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kolonel Kamal Mokhtar berkata, jumlah tersebut membabitkan 12 kampung yang terjejas selepas banjir melanda daerah berkenaan.

“Sehingga pukul 8 pagi tadi, seramai 22 lelaki, 27 wanita dan 41 kanak-kanak ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

“Sebanyak 12 kampung yang terjejas adalah Bambangan, Siniko, Sindok, Baitam Ulu, Lumantak, Baitam Laut, Jambatan Baru, Kayai, Papas, Baitam, Baru dan Baitam Baru,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, paras air di Sungai Membakut juga berada pada kedalaman 6.73 meter menghampiri paras bahaya yang ditetapkan iaitu 6.8 meter.

“Selain itu, beberapa jalan terputus akibat banjir seperti jalan Kampung Baitam Laut, Kayai, Baru dan Jambatan Baru,” katanya.

Menurutnya, APM dan beberapa agensi keselamatan lain termasuk polis dan bomba terus melakukan kerja pemantauan di kawasan terjejas.