Mangsa Banjir Meningkat 422 Orang Di Beaufort, Membakut

136

Oleh SURAIDAH ROSLAN
BEAUFORT: Mangsa yang terjejas akibat banjir di daerah ini dan Membakut meningkat kepada 422 orang yang terdiri daripada 151 keluarga setakat 5 petang tadi.

Kesemua mangsa masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Selagon, Beaufort berikutan paras air Sungai Padas (8.03) dan Sungai Membakut (6.59) masih berada pada paras waspada.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah menerusi satu kenyataan memaklumkan kesemua mangsa yang ditempatkan di PPS Selagon itu adalah dari 30 kampung yang terjejas, iaitu lima kampung di Beaufort dan 25 kampung di Membakut.

Kampung yang terjejas banjir di Beaufort adalah Kampung (Kg) Bakalau, Kg Bakalau Simpang 4, Kg Binunuk, Kg Balibata dan Kg Suasa.

Di Membakut, kawasan yang terjejas adalah JPS Kg Lumantak, Kg Baitam, Kg Sinoko, Kg Bambangan, Kg Baitam Laut, Kg Baitam Baru, Kg Baitam Ulu, Kg Jambatan Baru, Kg Baru, Kg Papas, Kg Kayai, Kg Poring, Sekolah Kebangsaan Pekan Membakut, Klinik Kesihatan Kg Sinoko, Kg Takapan, Kg Mendangin, Pekan Lama Membakut, Kg Lampijas, Pejabat Daerah Kecil Membakut, Kg Rawan, Kg Brunei, Kg Limpayau, Kg Dungau dan Kg Sungai Damit.

Terdapat beberapa jalan yang terputus yang tidak boleh dilalui langsung oleh semua jenis kenderaan dan beberapa jalan yang hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat.

Pada hari pertama banjir, iaitu pada Selasa, sebanyak 268 orang daripada 97 keluarga dipindahkan ke PPS Selagon berikutan banjir yang melanda kedua-dua kawasan berkenaan.