Mangsa Banjir Di Sabah, Sarawak Meningkat Petang Ini

KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Sabah dan Sarawak menunjukkan peningkatan jumlah mangsa petang ini, manakala keadaan bertambah baik di Johor, Pahang dan Kelantan.

Semakan di infobanjir.water.gov.my petang ini mendapati Sungai Padas di Beaufort, Malihah di Kuching; Sungai Jelai di Lipis dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran serta di Serambi, Pekan, Pahang; dan Sungai Golok di Kuala Jambu, Kelantan masih merekodkan bacaaan melebihi paras bahaya.

Selain itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan dan ribut petir di Sarawak dan Sabah sehingga 19 Jan ini.

Di SABAH, mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 1,054 orang setakat 4 petang ini dan kesemua mereka ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS), yang beroperasi di tiga daerah iaitu Kota Marudu, Pitas dan Beaufort.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, mangsa banjir di empat PPS di Kota Marudu iaitu Dewan Kampung Asin-Asin, Sekolah Kebangsaan (SK) Taritipan, SK Advent Damai dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek, meningkat kepada 885 orang.

Di Pitas, jumlah mangsa banjir tiga di PPS yang beroperasi di daerah itu kini 145 orang, manakala mangsa banjir di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir, Beaufort masih kekal 24 orang.

Sementara itu, hujan lebat di kawasan pantai timur Sabah mengakibatkan lima kampung di Lahad Datu dinaiki air. Setakat ini, empat daerah di Sabah iaitu Kota Marudu, Pitas, Beaufort dan Lahad Datu, melibatkan 101 kampung terjejas banjir, namun belum ada mangsa banjir dipindahkan di Lahad Datu.

Di SARAWAK, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata, angka penduduk yang dipindahkan ke PPS meningkat kepada 385 orang, termasuk 332 orang ditempatkan di enam PPS.

Terdapat empat PPS baharu dibuka hari ini iaitu di Dewan Rekreasi Bimajaya, yang menempatkan 75 mangsa, Dewan Serbaguna Taman Malihah (187), Rumah Kedai Batu Kawa (60) dan Dewan Serbaguna Kampung Batu 1 menjadi PPS pertama di Miri dibuka, menempatkan tujuh mangsa.

Di JOHOR, cuaca semakin baik membolehkan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) banjir ditutup, menjadikan jumlah yang beroperasi hanya 30 buah setakat 3.30 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan berkata, berikutan penutupan itu, bilangan mangsa yang terjejas kini 2,999 orang.

Bagaimanapun Kota Tinggi merupakan daerah tertinggi merekodkan mangsa banjir iaitu seramai 2,161 orang, diikuti Johor Bahru (624), Kluang (121), Segamat (76) dan Pontian (17).

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir petang ini susut kepada 14,360 orang yang masih berada di 131 PPS, berbanding 16,292 orang yang direkodkan pagi tadi.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, Temerloh merekodkan 6,080 mangsa banjir diikuti Pekan (3,267), Maran (2,066), Bera (1,633) dan Kuantan (792).

Tiga daerah yang sebelum ini terjejas teruk akibat banjir yang bermula 3 Jan lalu, juga semakin pulih dengan Lipis merekodkan mangsa seramai 353 orang, Jerantut (106) dan Raub (63).

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir membabitkan jajahan Pasir Mas semakin berkurang kepada 58 mangsa setakat 3 petang ini, berbanding 84 mangsa pada pagi tadi. Kesemua mangsa ditempatkan di PPS SK Tok Deh, Pasir Mas.