Mangsa Banjir Di Sabah Meningkat Kepada 1,680 Orang Pagi Selasa

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di daerah Kudat, Kota Marudu dan Pitas meningkat kepada 1,680 orang daripada 507 keluarga pagi ini berbanding 746 orang daripada 225 keluarga semalam.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, kesemua mangsa ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di negeri itu, sejak pagi semalam.

Sekretariat itu memaklumkan PPS terbaharu yang dibuka di Kudat iaitu Rest House Lama Karakit, menempatkan 15 mangsa banjir daripada tiga keluarga, sekali gus menjadikan tiga PPS beroperasi di daerah itu.

Ini termasuk PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Dato Hj Mustapha membabitkan seramai 90 mangsa daripada 14 keluarga dan PPS di SK Sikuati menempatkan seramai 801 mangsa daripada 228 keluarga.

Di daerah Kota Marudu, empat PPS dibuka iaitu di Dewan Kampung Asin-Asin menempatkan 307 mangsa daripada 120 keluarga; SK Taritipan (324 mangsa daripada 80 keluarga); SK Advent Damai (25 mangsa daripada 13 keluarga) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tandek (54 mangsa daripada 33 keluarga).

Dua PPS yang beroperasi di Pitas pula iaitu Dewan Kampung Kusilad yang menempatkan 49 mangsa daripada 13 keluarga dan SK Pekan II membabitkan 15 mangsa daripada tiga keluarga.

Setakat ini, lima daerah di Sabah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Tongod dan Beaufort melibatkan 90 kampung terjejas banjir berikutan hujan berterusan sejak Ahad, namun belum ada mangsa banjir dipindahkan di daerah Tongod dan Beaufort.