Mangsa Banjir Beaufort Meningkat 103

42

Oleh ARDYHANSAH AMAT
BEAUFORT: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna Selagon, Membakut terus meningkat kepada 103 orang berbanding hanya 19 semalam.

Sebanyak 32 keluarga terjejas di tujuh buah kampung yang masih dilanda banjir setakat pukul 5 petang ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Kolonel Kamal Mokhtar berkata, mangsa terdiri daripada 52 kanak-kanak serta 51 dewasa.

“Tujuh kampung lain masih ditenggelami air iaitu Baitam Ulu, Baitam Laut, Jambatan Baru, Kayai, Papas, Baru dan Baitam Baru,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, dua jalan utama iaitu di Kampung Kayai dan Kampung Baru masih belum boleh dilalui oleh kenderaan ringan kerana arus deras yang boleh mengancam keselamatan.

Menurut beliau, bacaan paras air Sungai Membakut kini berada pada kedalaman 6.10 meter iaitu di tahap amaran manakala tahap bahaya adalah 6.8 meter.

Hujan lebat yang melanda Sabah terutama di kawasan pantai barat berpunca daripada Monsun Timur Laut yang telah bermula.

Selain itu semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan nasihat Ribut Tropika (Nakri) yang dijangka melanda kawasan perairan Sabah.

MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, ribut tropika itu boleh menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Laut China Selatan iaitu kira-kira 603 kilometer ke barat laut dari Kudat, Sabah.

Kelajuan angin ribut tropika itu boleh mencapai sehingga 108 km sejam.