Mangga Harumanis ‘Terbang’ Ke Sabah

SEPANG: Mangga Harumanis kini boleh didapati di Sabah apabila penerbangan sulung yang membawa kira-kira setengah tan ikon Perlis berlepas ke negeri di bawah bayu itu hari ini.

Penghantaran sulung mangga Harumanis menerusi penerbangan AirAsia AK5104 itu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dijayakan melalui kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan dengan airasia farm, anak syarikat Airasia.

“Harumanis bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan 2,415 pengusahanya di Perlis, malah mempunyai impak yang besar terhadap ekonomi serta industri agropelancongan dan rantaian bekalan di seluruh negara,” kata  Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee ketika berucap pada majlis Flag Off Harumanis ke Sabah di klia2, hari ini.

Turut hadir pada majlis yang merupakan sebahagian daripada kempen ‘Harumanis Kembali Lagi’ yang dilancarkan pada 11 April lepas di Beseri, Perlis bagi mempromosi mangga Harumanis, ialah Ketua Pegawai Eksekutif Airasia Group Tan Sri Tony Fernandes.

Ronald berkata tahun ini, Jabatan Pertanian menyasarkan hasil pengeluaran mangga Harumanis di Perlis sebanyak 3,336 tan metrik bernilai RM66.7 juta, dan daripada jumlah itu, kira-kira 50 peratus akan dijual secara dalam talian melalui platform e-dagang seperti airasia food, airasia fresh dan AgroBazaar online.

Sementara itu, Pengurus Besar airasia farm S.Lalitha berkata penghantaran pertama Harumanis ke Sabah sebagai komoditi eksport adalah dengan memanfaatkan ekosistem dan teknologi kumpulan Airasia seperti Teleport, dan penggunaan platform e-dagang oleh airasia food dan airasia fresh.

Beliau berkata sinergi dengan pihak MAFI telah memungkinkan penghantaran mangga Harumanis ke Sabah dalam masa kurang dari 72 jam setelah tuaian bagi memastikan ia benar-benar segar dari ladang.

“Kami percaya teknologi dan digitalisasi bukan sahaja akan menambah nilai kepada sektor pertanian malah dapat menambah baik keseluruhan rantaian bekalan industri makanan negara daripada langkah pengeluaran, pengedaran kepada penggunaan,” katanya.

Menurutnya, matlamat jangka panjang airasia farm adalah untuk memberikan nilai yang lebih baik dan manfaat kepada ribuan petani Harumanis di Perlis supaya mereka dapat menjana pendapatan yang lebih besar untuk tuaian mereka secara dalam talian dan di seluruh rantau ini pada masa hadapan.

Mangga istimewa dari Perlis itu boleh dipesan dalam talian melalui airasia fresh dan airasia food di Semenanjung Malaysia dan melalui Foodpanda di Sabah.