Manfaat Peruntukan Dalam Belanjawan Sebaiknya – Shafie

61

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal mengingatkan agensi kerajaan agar memanfaatkan peruntukan Belanjawan Sabah 2020 dengan sebaiknya bagi mengelakkan berlaku ketirisan dalam perbelanjaan.

Beliau, yang juga Menteri Kewangan Negeri berkata, semua pihak sama ada di peringkat jabatan mahupun agensi kerajaan bukan hanya perlu pendekatan berjimat cermat tetapi juga memastikan perbelanjaan itu dilakukan dengan sebaiknya agar tiada ketirisan dan gejala rasuah yang berlaku.

Katanya, gejalan negatif sebegitu boleh menjejaskan pelaksanaan, mutu perkhidmatan serta kualiti sesuatu projek pembangunan yang akan dilaksana.

“Ini merupakan salah satu usaha yang kita perlu jayakan. Menyedari hakikat ekonomo global semakin mencabar, pertumbuhan ekonomi tidak boleh bergantung kepada bahan komoditi kelapa sawit dan kayu kayan.

“Pada masa akan datang, saya yakin berbagai hasil dan sumber baharu akan mula kita nikmati seperti projek pembuatan silika di Kudat.

“Kita tidak boleh bergantung kepada (hasil) kelapa sawit, kayu-kayan, slot machine semata-mata, kita perlu mencari kaedah yang lain untuk meningkatkan hasil negeri Sabah,” katanya kepada pemberita selepas Pembentangan Belanjawan Sabah 2020, di Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini pada Jumaat.

Ditanya mengenai penurunan dalam belanjawan kali ini, Mohd Shafie berkata, penurunan berlaku disebabkan harga kelapa sawit yang menurun. Hasil kayu-kayan juga menurun berikutan langkah kerajaan mengharamkan pengeksportan kayu balak.

Bagaimanapun, beliau yakin usaha yang sedang dilakukan kerajaan dalam memperkenal sumber baharu seperti pembuatan perabot di Kota Marudu serta pembangunan aktiviti hiliran dalam industri kelapa sawit akan dapat memberikan hasil dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Menurutnya, kerajaan tidak hanya memikirkan hasil kepada negeri tetapi juga hasil yang dapat diberikan kepada rakyat melalui penyediaan peluang pekerjaan yang boleh meningkatkan pendapatan rakyat.

“Tiada ertinya hanya kerajaan dan pihak tertentu mendapat hasil yang tinggi tetapi rakyat tidak mendapat imbuhannya. Sabah negeri yang kaya dengan sumber alam tetapi kemiskinan juga masih berlaku di Sabah.

“Maka, untuk menyelesaikan masalah itu kita kena pastikan belanjawan ini diurustadbir dengan baik dan memberi fokus kepada sektor-sektor yang produktif seperti sektor pertanian,” katanya.

Beliau juga mahu perancangan jangka pendek dan jangka panjang dirancang bagi memastikan ekonomi Sabah terus mampan.