Mana 10,000 Komputer Riba Untuk Pelajar? Soal ADUN DAP

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang masih dilaksanakan di Sabah memerlukan pelajar di negeri ini dibekalkan dengan komputer riba atau peranti yang lebih baik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang berkata, pandemik Covid-19 telah menyebabkan perubahan drastik dalam kaedah pembelajaran anak-anak. Akses internet dan alat peranti menjadi keperluan asas bagi pelajar untuk mengikuti kelas dalam talian dari rumah.

Walau bagaimanapun, ramai ibu bapa di Sabah terutama mereka yang mempunyai lebih dari satu anak tidak mampu membeli alat seperti tablet atau komputer riba untuk digunakan sebagai alat pendidikan bagi mengikuti kelas PdPR dalam talian.

“Mereka tidak menerima bantuan dari kerajaan, oleh itu, Pusat Perhubungan ADUN Kapayan telah memulakan inisiatif dengan membeli komputer riba yang diperbaiki untuk diberikan kepada pelajar yang tidak mampu membeli alat ini” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jannie menyerahkan 10 komputer riba yang diperbaiki kepada pelajar sekolah rendah dan menengah untuk memudahkan mereka mengikuti kelas yang dijalankan dalam talian dan dari jauh

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kempen My Gadget Sabah, yang dimulakan oleh Jay Lok dengan kerjasama Kenneth Wong dari Pusat Perhubungan ADUN Kapayan kerana menjayakan inisiatif ini dengan mengenal pasti komputer riba yang diperbaiki.

“Kenneth juga akan membantu ibu bapa dengan memberi khidmat nasihat berkaitan penggunaan computer sekiranya perlu,” ujarnya.

Ketua Wanita DAP Sabah ini berkata, memandangkan PdPR merupakan platform pembelajaran yang penting maka, beliau mendesak kerajaan Sabah dan Persekutuan untuk menepati janji mereka untuk menyediakan 10,000 komputer kepada pelajar Sabah.

Disamping itu, kerajaan juga perlu mengenal pasti pelajar yang memerlukan termasuk mereka yang berhadapan masalah mendapatkan akses internet.

Jannie juga mendorong mereka yang ingin menyumbangkan komputer riba terpakai atau wang tunai untuk membantu pelajar yang kurang bernasib baik untuk menderma melalui akaun Pusat Khidmat DAP Penampang menerusi akaun Public Bank 3208968403 atau menghubungi talian 012-8260706.