Mampukah Hutan Paya Bakau Sabah Tahan Ancaman Pembangunan?

Pertukaran saliran antara air masin dari laut dan air tawar di sungai diperlukan bagi kesinambungan ekosistem hutan paya bakau. Credit Gambar: © Forever Sabah

KOTA KINABALU: Dengan keluasan 232,000 hektar, kawasan hutan paya bakau di pesisiran pantai Sabah adalah tiga kali ganda saiz Singapura. Ini menjadikan negeri ini kawasan utama di Malaysia untuk ekosistem penting tersebut.

Hutan paya bakau adalah penyerap and penyimpan karbon yang berkesan. Ia menjadi benteng utama ketika berlaku tsunami, ribut, hakisan dan peningkatan paras laut. Selain dari itu, ia adalah tempat pembiakan pelbagai spesis makanan laut yang penting untuk ekonomi tempatan. Hutan paya bakau turut menjadi sumber ubat-ubatan tradisi dan penawar yang diperlukan oleh masyarakat pesisiran pantai di pendalaman yang biasanya mempunyai akses terhad pada kemudahan perubatan moden.

Namun demikian, hutan paya bakau di Sabah adalah di antara ekosistem yang terkesan akibat pembangunan infrastruktur yang tidak terkawal pada masa lampau dan juga terkini. Ancaman tersebut masih berlaku sekaligus memberi kesan negatif pada masyarakat pesisiran pantai yang bergantung pada ekosistem tersebut untuk pendapatan, tempat tinggal, ubat-ubatan dan makanan.

Gabungan Humans Habitats Highways (3H), sebuah platform masyarakat sivil dan organisasi penyelidikan saintifik, mencadangkan agar hutan paya bakau tidak diganggu bagi tujuan pembinaan jalanraya.

Kawasan hutan paya bakau selebar 70 meter rosak akibat pembinaan jalanraya. Credit: © Forever Sabah

Gabungan tersebut berkata Sabah yang sudah dikenali di peringkat antarabangsa sebagai peneraju konservasi biodiversiti boleh memilih untuk membangunkan negeri ini tanpa mengganggu ekosistem hutan paya bakau. Dengan membina jalanraya di kawasan lain, pendekatan sedemikian mampu mengelak berlakunya lebih banyak kerosakan pada hutan paya bakau akibat pencemaran sisa binaan dan bunyi, selain gangguan hidrologi.

Menurut gabungan itu, aktiviti timbus tanah untuk membina jalanraya di hutan paya bakau dan saliran sungai mengganggu hidrologi permukaan dan bawah tanah. Hutan paya bakau memerlukan pengaliran semulajadi antara air laut dan air tawar di sungai untuk hidup dengan baik.

Ketua Konservasi WWF Malaysia Dr Robecca Jumin berkata cadangan untuk mengubah jajaran jalanraya ke pedalaman atau kawasan yang jauh dari hutan payau bakau juga berdasarkan kos tinggi yang akan ditelan untuk meninggikan dan membina jalanraya di tanah paya bakau yang lembut. Selain itu, ancaman kenaikan paras laut akibat perubahan iklim mungkin juga menyebabkan jalanraya akhirnya dibanjiri.

“Gangguan hidrologi akibat pembinaan jalanraya melalui hutan paya bakau akan mengurangkan sumber pendapatan nelayan dan memberi kesan negatif kepada keperluan makanan di negeri Sabah memandangkan ekosistem ini adalah sumber makanan laut yang penting. Pembinaan jalanraya akan menggalakkan pembukaan lebih banyak kawasan untuk penempatan. Dengan itu, kebolehan hutan paya bakau menjana sumber makanan laut akan terjejas” katanya.

Gabungan 3H memandang positif kenyataan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada tahun lalu bahawa pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo tidak sepatutnya mengganggu ekosistem seperti hutan. Beliau pada ketika itu berkata pembinaan sepatutnya tertumpu pada melebarkan jalanraya yang sedia ada, dan bukannya memulakan jajaran baru.

Jalanraya yang dibina tanpa mengambil kira faktor ekologi dan hidrologi mampu merosakkan hutan paya bakau. Credit Gambar: © Forever Sabah

Ketua Fasilitator Eksekutif Forever Sabah, Cynthia Ong, berkata pada amnya jalanraya diperlukan bagi memudahkan pergerakan masyarakat dan pembangunan ekonomi.

“Namun demikian, pembinaan jalanraya harus mengambil kira faktor kebudayaan, alam sekitar dan ekologi tempatan. Terdapat banyak laporan saintifik yang boleh dirujuk untuk mengetahui kawasan mana yang sepatutnya dielak dan sebab-sebabnya juga diberi”

“Ada jalanraya yang dirancang dan dibina untuk meningkatkan taraf hidup komuniti menerusi peluang eko-pelancongan, seperti aktiviti menaiki bot bagi melihat hidupan liar seperti monyet belanda, dan juga kelip-kelip. Sekiranya hutan paya bakau dirosakkan oleh pembinaan jalanraya, apakah yang akan kita sajikan bagi tatapan pelancong,” Cynthia bertanya.

Secara khusus, hutan paya bakau adalah habitat utama untuk monyet belanda, spesis yang dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Konservasi Hidupan Liar Sabah. Spesis tersebut hanya terdapat di pulau Borneo. Spesis monyet ini adalah tarikan utama bagi pelancong dan turut memberi kesan positif pada aktiviti ekonomi lain sekaligus meningkatkan taraf hidup komuniti di kawasan persisiran pantai. Pelan Tindakan Sabah Bagi Monyet Belanda 2019-2028 yang digazet tahun lalu secara spesifik menyarankan habitat monyet belanda perlu dilindungi.

Rancangan jajaran terkini melibatkan pembinaan sebuah jalanraya dua hala yang baru dari Tuaran ke Simpang Mengayau di Kudat. Pembinaan tersebut akan merentasi beberapa Hutan Simpan Paya Bakau dan Sanktuari Burung Kota Belud yang penting bagi ekonomi berasaskan eko-pelancongan dan menjadi aset perikanan di barat laut Sabah. Jajaran terkini juga berpotensi membebankan kerajaan dengan kos tinggi penyelenggaraan jalan raya sekira berlakunya banjir akibat kenaikan paras laut.

Gabungan 3H terdiri daripada Bornean Sun Bear Conservation Centre (BSBCC), Borneo Futures, Danau Girang Field Centre (DGFC), Forever Sabah, Seratu Aatai, Land Empowerment Animals People (LEAP), PACOS Trust dan WWF-Malaysia.