Malaysia Perlu Pelan Induk STI Untuk Pertumbuhan Ekonomi Lestari – Madius

Madius Tangau
Madius Tangau

KOTA KINABALU – Malaysia amat memerlukan pelan induk bagi membangunkan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) bagi membolehkan negara mencapai pertumbuhan ekonomi yang lestari dengan menggunakan sepenuhnya pertumbuhan pesat teknologi maklumat dan komunikasi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau berkata pelan induk seumpama ini diperlukan kerana ia boleh bertindak sebagai pelan strategik STI yang menyeluruh bagi Malaysia dalam tempoh jangka panjang melangkaui tahun 2020.

“Kita perlu sedar bahawa kemakmuran sesebuah negara dalam abad ke-21 ditentukan oleh keupayaan negara berkenaan untuk berinovasi. Inovasi mempunyai kesan lebih besar ke atas rakyat dan ekonomi negara pada kadar dan skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

tupper4

“Bersama-sama dengan banyak negara lain, Malaysia telah lama mengiktiraf sains, teknologi dan inovasi sebagai pemacu penting bagi pertumbuhan lestari termasuk menambah baik taraf kehidupan, katanya ketika berucap pada persidangan antarabangsa mengenai Sains Komputasional dan Kejuruteraan di sini Selasa.

Persidangan dua hari anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang bermula hari Selasa dihadiri kira-kira 200 peserta termasuk dari luar negara.

Menurut Madius, pertumbuhan ekonomi bagi kebanyakan negara maju seperti seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Korea Selatan dijana melalui STI dan ia merupakan pemacu ekonomi baharu yang mendorong penghasilan perniagaan baharu, pekerjaan baharu dan mendorong pertumbuhan produktiviti.

Dalam kes Malaysia, beliau berkata, jawapannya adalah dengan merumuskan pelan induk STI Nasional bagi menyokong pelaksanaan semua dasar berkaitan dengan STI diputuskan pada mesyuarat sulung Majlis Sains Kebangsaan.

Beliau berkata pelan induk itu menjadi keperluan kerana ia akan menjelaskan pelan tindakan mengenai wawasan, sasaran, langkah-langkah dasar, mekanisme dan sinergistik di semua kementerian dan sektor bagi memajukan STI di Malaysia.

“Dengan mempunyai pelan induk STI ini seolah-olah mempunyai hala tuju bagi membangunkan bandar raya pintar bersepadu, terancang yang mengandungi rumah pintar, rangkaian pengangkutan terkini, perusahaan komersial, kemudahan seperti sekolah, hospital, bekalan air yang lestari dan infrastrukur digital.

Oleh itu, sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan satu Pelan Induk STI Nasional untuk mencarta daya saing Malaysia pada masa depan melalui STI,” katanya.

Menurut Madius, Malaysia juga perlu sedar bahawa dalam membentuk sebuah negara Malaysia pada masa depan, negara sepatutnya tidak membataskan diri kepada pemikiran dalam acuan lama, sebaliknya mencari cara bagi mengelak pendekatan silo dan memanfaatkan sumber yang ada bagi mencapai matlamat.

Beliau berkata dengan memahami situasi yang ada, kerajaan Malaysia telah menubuhkan sebuah badan terpusat yang dikenali sebagai Agensi Pengurusan Penyelidikan (RMA) bagi menguruskan dana pembangunan dan penyelidikan (R&D) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

Madius berkata RMA bukan sahaja dapat memperkemas pengurusan pembiayaan R&D tetapi ia juga memudahkan untuk menyelaras keseluruhan rantaian nilai R&D dan dapat mengukur kebolehserahan selaras dengan agenda STI Nasional.