Malaysia Di Titik Perubahan, Kata Presiden Parti Warisan Sabah

Shafie Apdal menerima borang keahlian baru di Kiulu.

KOTA KINABALU: Beliau pernah dianggap sebagai antara para pemimpin yang paling berkuasa di Umno.

Kini, ahli politik Shafie Apdal, 60, meramalkan riwayat Umno sudah hampir ke penghujungnya.

 

“Najib dan Umno berhadapan dengan terlalu banyak rintangan dan saingan sengit,” katanya sambil merujuk kepada Najib Razak, presiden Umno.

Dalam satu temuramah minggu lalu, Shafie menyenaraikan masalah yang menyelubungi perdana menteri dan parti pemerintah: skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kekecewaan di kalangan penduduk kerana kos sara hidup yang semakin tinggi, dan penyatuan barisan pemimpin politik kebangsaan yang tidak dijangka untuk menghadapi kerajaan Barisan Nasional yang diterajui Umno.

“Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya bahawa Dr Mahathir, Kit Siang dan Anwar pada satu hari, akan bekerjasama. Tetapi itulah yang apa berlaku sekarang… Ini adalah satu titik perubahan,” kata Shafie ketika merujuk kepada perikatan pembangkang Pakatan Harapan yang diketuai bekas PM Mahathir Mohamad, orang lama ketua DAP Lim Kit Siang, dan bekas timbalan PM kepada Dr Mahathir iaitu Anwar Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat.

Shafie, seorang bekas penjawat awam, kini muncul sebagai pemain utama bagi pihak pembangkang.

Pakciknya, Tun Sakaran Dandai, pernah menjadi ketua menteri Sabah dan bertanggungjawab memacu kerjaya politik Shafie ke hadapan.

Setelah berjaya menaiki tangga pangkat peringkat Umno negeri, Shafie mengejutkan arena politik nasional pada 2011 bila dilantik sebagai salah satu daripada tiga naib presiden Umno, rakyat Sabah yang pertama berjaya merangkul jawatan penting dalam parti memerintah itu.

Akan tetapi, trajektori politiknya dalam Umno tiba-tiba terhenti apabila beliau digantung keahlian oleh Najib pada Julai 2015 setelah mereka berdua bertentangan pendirian berkaitan dengan skandal 1MDB.

Shafie kemudian pulang ke pangkal politiknya dan menubuhkan Parti Warisan Sabah, sebuah parti pelbagai bangsa, untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negeri dari kerajaan BN-Umno.

Ketika ditemuramah di kediamannya yang sederhana dan terletak di pinggir bandaraya Kota Kinabalu, Shafie bertegas bahawa Warisan mampu mengalahkan BN di Sabah walaupun belum pernah bertanding.

“Parti Warisan Sabah mempunyai wakil dari pelbagai kumpulan etnik di Sabah dan rakyat di sini mahu perubahan. Itulah tanda-tanda yang saya terima sepanjang program jelajah kami di seluruh negeri,” katanya.

Antara pengunjung yang tidak henti datang ke rumahnya selepas tarikh pengundian diumumkan, ialah bekas ketua menteri dan pemimpin Umno Osu Sukam, bersama dengan beberapa orang penjawat awam kanan.

“Ini satu perkara lumrah dalam politik Sabah,” kata seorang pembantu kanan bila ditanya mengenai kehadiran Osu.

“Besar kemungkinan Shafie bakal menjadi ketua menteri akan datang maka dengan itu, mereka ingin melindungi kepentingan mereka.” – Leslie Lopez/The Straits Times