Malaysia Airports Labuan Sedia Peningkatan Pengendalian Pesawat

132

LABUAN: Lapangan Terbang Labuan sudah bersedia untuk mengurus peningkatan penerbangan domestik dan antarabangsa berdasarkan kapasiti dan kemudahannya.

“Kami berharap ada peningkatan dalam jumlah penerbangan domestik dan antarabangsa, kerana kami mampu mengendalikan pesawat dan penumpang yang meningkat,” kata Pengurusnya Amat Madin pada sidang akhbar selepas Rumah Terbuka Hari Raya Malaysia Airports Labuan hari ini.

Beliau berkata landasan lapangan terbang yang dinaik taraf itu mampu menerima pesawat A320 yang lebih besar dengan lebih banyak beban selain pesawat kargo 747.

Amat berkata Lapangan Terbang Labuan menerima penerbangan antarabangsa terus dari China dua tahun lepas, namun dihentikan kerana faktor jumlah penumpang.

Beliau yakin peningkatan penerbangan antarabangsa ke Labuan akan membantu meningkatkan pembangunan pelancongan dan ekonomi Labuan.

Labuan kini menerima penerbangan dari Kuala Lumpur, Miri dan Kota Kinabalu.

Amat juga berkata lapangan terbang itu kini disokong oleh perniagaan tempatan dan antarabangsa, menjadikannya antara tempat yang mesti dilawati di pulau itu.

Sementara itu, Ketua Bahagia Penerokaan Luar Negara Malaysia Airports, Lindayani Tajudin berkata, usaha sedang dilakukan untuk membawa lebih banyak syarikat penerbangan ke Labuan dengan kerjasama syarikat-syarikat penerbangan.

“Mungkin dalam tempoh satu dua tahun ini, akan ada penerbangan antarabangsa ke lapangan terbang Labuan. Oleh itu kami perlu fokus kepada usaha itu,” katanya.