‘Mako Shark’ Muncul Di Perairan Pulau Mabul

SEMPORNA: Kehadiran jerung mako sepanjang empat meter yang dilihat di perairan Pulau Mabul membuatkan ramai pelancong teruja untuk merakam aksi hidupan terancam berkenaan.

Pemandangan yang jarang dilihat di perairan Mabul itu menyebabkan pelancong begitu teruja kerana jerung mako jenis sirip pendek dikenali sebagai spesis terancam di bawah Kesatuan Antarabangsa Untuk Pemuliharaan Alam (IUCN).

Turut tidak melepaskan peluang merakam kehadiran jerung mako itu ialah pelancong tempatan, Sylvian Kok.

Rakaman yang diambil pada hujung Disember tahun lalu merupakan satu pengalaman berharga yang tidak akan dilupakan.

Rakaman video itu tular setelah dimuat naik dalam laman media sosial.

Pengurus Konservasi Scuba Junkie SEAS Cat McCann berkata, kehadiran jerung mako yang dirakam memperlihatkan jerung itu seang menghampiri bangkai seekor ikan layaran yang terapung di permukaan laut.

Katanya, ikan jerung itu dilihat berada di kawasan cetek dan situasi itu amat berbeza dengan kebiasaan kerana spesis tersebut biasanya dilihat di kawasan laut terbuka.

“Berdasarkan dari saiz sirip pektoral dan bentuk muncungnya, ia dikenal pasti sebagai jerung mako sirip pendek (Isurus Oxyrinchus).

“Spesis jerung ini juga diketahui mampu melompat keluar ke permukaan air sehingga mencapai ketinggian 20 kaki atau hampir lima meter dan kelajuan berenang lebih 70 kilometer sejam dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Penemuan spesis tersebut memberi petanda keunikan kepelbagaian bio hidupan marin di Sabah, terutama di Semporna.

Beliau berkata, satu kajian dari Institut Sains Marin Australia yang dijalankan oleh Dr Johanna Zimmerhackel mengenal pasti aktiviti pelancongan menyelam bersama jerung menghasilkan pulangan sehingga USD16.6 juta (RM69.76 juta) kepada Semporna pada 2018.