Maklumat Siasatan Kematian Bayi Tidak Didedah Sepenuhnya

KOTA KINABALU: Maklumat siasatan kes kematian bayi di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas tidak didedah sepenuhnya kepada umum.

Walaupun siasatan kes kematian bayi itu akan dilakukan secara telus namun, bukan semua maklumat boleh didedahkan secara terbuka kepada umum.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan hospital mempunyai prosedur operasi standard (SOP) tersendiri maka, masyarakat perlu faham bahawa bukan semua maklumat boleh didedahkan kepada umum.

“Ada maklumat yang tidak boleh dikongsi secara terbuka kepada umum. Namun, untuk kes ini, siasatan masih dijalankan dan Pengarah Kesihatan Negeri memaklumkan mereka sedang melakukan sesi konsultasi dengan keluarga pesakit.

“Jadi, kita tunggu hasil siasatan daripada KKM,” katanya semasa mengulas tentang kes kematian bayi di HWKKS Likas yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Dalam kes yang tular itu, keluarga ibu bayi tersebut mendakwa berlaku kecuaian oleh pihak hospital semasa mengendalikan kelahiran bayi berkenaan.

Shahelmey, yang juga Exco Kesihatan Negeri itu berkata, masyarakat diingatkan agak tidak terlalu emosi dengan insiden yang berlaku sehingga mengeluarkan bahasa kesat terhadap petugas kesihatan seperti jururawat dan doktor.

Jelasnya, kata-kata kesat tidak seharusnya dilemparkan kepada petugas kesihatan kerana jika berlaku sebarang kecuaian atau ketidakcekapan dalam perkhidmatan mereka maka, biarlah siasatan dilakukan oleh pihak berkaitan.

“Kita selaku masyarakat tidak perlu mengeluarkan kata-kata kesat yang boleh melemahkan atau menghilangkan motivasi petugas kesihatan. Maka, saya meminta perkara itu dihentikan,” katanya.

Dengan itu, Shahelmey mencadangkan semua hospital mewujudkan unit komunikasi korporat masing-masing agar mereka dapat berkomunikasi dengan masyarakat dengan lebih tepat dan telus.

Ini bagi mengelak timbul sebarang spekulasi atau tuduhan liar berkaitan perkhidmatan kesihatan. Unit komunikasi penting bagi membolehkan pihak hospital berhubung dengan masyarakat bagi menerangkan perkara sebenar yang berlaku.

BERITA BERKAITAN :-

Hospital Didakwa Cuai Akibatkan Kematian Bayi