Makan Super Ring, Tengok PN Berebut Kerusi

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Pertembungan antara komponen Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) memang sukar dielak.

Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Junz Wong berkata, beliau sudah menjangka kerajaan PN tidak akan bertahan lama.

“Kan saya sudah kata, PN akan retak,” katanya.

Semalam, Pengerusi Parti  Pribumi Bersatu Malaysia peringkat Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan partinya bersedia meletakkan calon di 45 daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.

“Jika PPBM ambil 45 kerusi, bagaimana pula dengan Musa Aman, UMNO, PCS pimpinan Anifah, STAR pimpinan Jeffrey, PBS pimpinan Dr. Max, PBRS, LDP dan calon-calon bebas dalam kem Azmin?”

“Bagaimanakah tujuh atau lapan blok ini akan bahagikan baki 28 kerusi?”

“Adakah blok masing-masing akan berpuas hati dengan tiga atau empat kerusi? Adakah mereka akan berpuas hati atau bergaduh? Adakah mereka akan sabotaj satu sama lain?”

Selain itu, Junz turut mengingatkan rakyat Sabah agar tidak terpengaruh dengan budaya parti itu.

“Tengok saja mereka bergaduh. Makan super ring kah, makan popcorn kah. Tengok saja. Tapi kita sebagai Sabahans jangan terikut-ikut mereka. Kita kekal bersatu dan fokus untuk membina masa depan Sabah yang lebih baik,”katanya.