Majoriti Anggota Agensi Penguatkuasaan Di Labuan Divaksin

LABUAN: Majoriti agensi penguatkuasaan kerajaan di pulau bebas cukai di sini telah menerima suntikan vaksin COVID-19 Pfizer- BioNTech sejak pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) peringkat Labuan pada 27 Feb lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Labuan Rithuan Ismail berkata agensi penguatkuasaan itu adalah petugas barisan hadapan di bawah Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

“Bukan semua ketua agensi kerajaan di sini ditawarkan bagi fasa pertama PICK, tetapi hanya mereka yang merupakan petugas barisan hadapan di bawah PKOB,” katanya kepada Bernama. 

Beliau mendedahkan Wilayah Persekutuan Labuan yang mempunyai populasi 103,000 orang, merekodkan penerima dos pertama vaksin COVID-19 paling ramai di Malaysia iaitu 1,946 orang berdasarkan nisbah setiap 100,000 penduduk setakat hari ini.

Labuan mempunyai tiga pusat pemberian vaksin iaitu Klinik Kesihatan Membedai, Hospital Labuan dan Rumah Sakit Angkatan Tentera di Pangkalan Udara Labuan.

Rithuan juga berkata vaksinasi ke atas 450 petugas barisan hadapan di Hospital Labuan telah selesai pada Khamis.

Program imunisasi peringkat Labuan dilancarkan pada 27 Feb, sehari selepas ketibaan 4,680 dos vaksin Pfizer-BioNTech di Terminal Feri Labuan dari Kota Kinabalu.