Majlis Perkahwinan, Upacara Cukur Jambul Cetus Kluster Baharu di Kg Karanaan, Ranau

KOTA KINABALU: Kes positif Covid-19 di Sabah hari ini merupakan kes terendah yang dicatatkan sejak beberapa bulan lalu, dengan 405 kes direkodkan hari ini.

Walau bagaimanapun, terdapat satu kluster baharu di Kampung Karanaan, Ranau yang membabitkan kakitangan awam Jabatan Kerja Raya.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kluster ini menular berikutan upacara majlis perkahwinan dan dua upacara cukur jambul yang turut dihadiri saudara mara dari luar daerah.

Sehingga kini, penularan kluser dalam komuniti ini sudah menjangkiti 52 orang penduduk.

“Kluster ini merupakan satu peringatan kepada masyarakat tentang kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Lebih-lebih lagi Sabah akan beralih kepada Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) esok dimana pelbagai sekatan untuk majlis sosial dan aktiviti ekonomi akan diberi kelonggaran.

“Risiko jangkitan di tempat awam dan acara-acara sosial semakin tinggi maka, rakyat disaran untuk tidak leka dalam mematuhi SOP. Kelonggaran pada Fasa 4 ini meletakkan tanggungjawab sebagai frontliners ke atas bahu rakyat sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Masidi berkata, berdasarkan kes hari ini, hanya Kota Kinabalu sahaja mencatatkan di atas 50 kes iaitu dengan 52 kes direkodkan. Sementara itu, 11 daerah mencatatkan kes baharu di bawah 10 kes termasuk tiga daerah yang tidak mencatatkan kes baharu seperti Kunak, Tongod dan Kalabakan.

Selain Kota Kinabalu, daerah yang mencatatkan kes yang tinggi termasuk Ranau 37 kes, Tuaran 36 kes, Penampang 34 kes, Kota Belud 22 kes dan Papar 19 kes.

Katanya, kesan positif pengambilan vaksin dapat dilihat melalui statistik harian pesakit-pesakit baharu. Daripada 405 kes yang direkodkan, 387 kes atau 96 peratus membabitkan pesakit daripada kategori 1 dan 2 iaitu golongan yang tidak bergejala atau bergejala ringan sahaja.