Majlis Jalinan Mesra FSSA UMS Meriah

KOTA KINABALU: Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan gabungan tiga perayaan iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Pesta Gawai dalam satu Majlis Jalinan Mesra baru-baru ini.

Majlis tersebut diadakan buat julung kalinya setelah dua tahun tidak dianjurkan akibat kekangan pandemik Covid-19.

Majlis perasmiannya disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin mewakili Naib Canselor, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin.

Dalam teks ucapannya, Taufiq menzahirkan rasa bangga atas usaha murni yang dibuat oleh FSSA dalam pelaksanaan program ini.

“Saya menyokong pelaksanaan program-program seumpama ini yang secara langsung mengangkat budaya bangsa di Malaysia melibatkan pelbagai pihak tanpa mengira kaum dan agama.

“Program sebegini juga dapat mengeratkan hubungan sesama warga UMS yang terdiri dari entiti besar pelajar, pensyarah dan kakitangan, selain memupuk sikap saling hormat menghormati dalam kalangan masyarakat majmuk di UMS,” katanya.

Taufiq turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Persatuan Mahasiswa FSSA yang telah bertungkus-lumus dengan kerjasama kakitangan FSSA untuk menjayakan penganjuran program tersebut.

“Sebagai kakitangan UMS, sokongan dan kerjasama yang diberikan kepada pelajar adalah sangat diperlukan dalam membentuk sahsiah dan memberi mereka pendedahan serta pengalaman yang tidak ternilai dalam menguruskan aktiviti atau program semasa berada di universiti,” katanya.

Dalam pada itu, Dekan FSSA, Prof. Dr. Jualang Azlan Gansau dalam ucapannya berkata, penganjuran majlis berkenaan merupakan satu inisiatif fakulti dengan kerjasama para pensyarah, kakitangan dan pelajar dalam usaha memupuk kerjasama dan saling menyantuni antara satu dengan yang lain.

“Semangat kerjasama yang diterapkan merupakan tonggak utama kejayaan pelaksanaan majlis ini dan mewujudkan kemeriahan bagi pelajar-pelajar yang telah lama tidak berada di dalam kampus.

“Syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Pelaksana Majlis Jalinan Mesra FSSA,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FSSA, Prof. Madya Dr. Rodeano Roslee.

Bertemakan kelestarian warisan budaya berbilang kaum di Sabah dan Sarawak, majlis tersebut diserikan lagi dengan persembahan tarian oleh kumpulan pelajar FSSA, persembahan nyanyian daripada kumpulan Buskers UMS, serta Pertandingan Gerai Tercantik, Gerai Sporting dan Pakaian Tradisional Tercantik kategori pelajar dan staf.

Turut hadir Pegawai-pegawai Utama, Dekan Fakulti, Pusat, Institut di UMS serta kakitangan akademik, pentadbiran dan pelajar-pelajar dari sembilan program pengajian di FSSA.