MAIWP LABUAN SALUR BANTUAN ZAKAT RM3.6 JUTA SEHINGGA MEI

LABUAN: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan telah menyalurkan zakat berjumlah keseluruhan RM3.6 juta dalam bentuk bantuan kewangan bulanan kepada 2,272 asnaf, sehingga bulan Mei.

Pengurusnya, Ahmad Saifuddin Md Tahir, berkata pihaknya akan terus mengenal pasti kumpulan asnaf di pulau itu bagi memanfaatkan sepenuhnya kutipan zakat berkenaan.

“Kami memerlukan kerjasama orang ramai membantu kami mengenal pasti mereka yang layak menerima bantuan zakat, yang mungkin tercicir dan ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk menghapuskan kemiskinan dan membantu kehidupan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Siri Kedua MAIWP Prihatin dan program Ziarah Raya, di sini, hari ini.

Empat buah keluarga di Kampung Patau-Patau 2, Kampung Rancha-Rancha, Kampung Kilan dan Kampung Tanjong Aru menerima bantuan zakat untuk pelbagai keperluan termasuk bantuan kewangan bulanan, sewa rumah dan skim bantuan bencana berjumlah RM20,100.

“Walaupun beberapa penerima zakat bekerja dan mendapat gaji bulanan kurang daripada RM1,000 atau lebih, tetapi kita harus melihat tanggungan mereka seperti bilangan anak, terutama yang masih bersekolah dan untuk golongan ini kita boleh membantu mereka dalam bayaran sewa rumah bulanan,” katanya.

Beliau menegaskan tidak semua penerima akan mendapat bantuan zakat bulanan sepanjang hidup kerana bantuan itu bertujuan memperbaiki kehidupan mereka dan akan dihentikan setelah kehidupan berada di tahap yang lebih baik.

Katanya, sejumlah RM4.8 juta telah diagihkan kepada golongan sasar yang terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).