Mahkamah Tinggi Tolak Rayuan Tertuduh, Hukuman Penjara, Denda RM100,000 Kekal

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, menolak rayuan pasangan suami isteri berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM200,000 kepada mereka atas pertuduhan memiliki empat gading gajah Borneo secara haram, 10 Januari lalu.

Perayu Hendrikus Pale, 48, warganegara Indonesia, mengemukakan rayuan di hadapan Hakim Dr Lim Hock Leng untuk mengenepikan hukuman penjara dan denda ke atas isterinya Anastasia Daron, 50.

Dalam masa sama, Hendrikus merayu hukuman yang dikenakan ke atasnya diringankan atas alasan mereka perlu menyara empat anak masih kecil dan ibu bapa yang tua di Indonesia.

Menurut Hendrikus, mereka juga tidak mengetahui kesalahan menyimpan gading gajah memandangkan menjadi kebiasaan dalam budaya kaum mereka menggunakannya dalam majlis perkahwinan.

Bagaimanapun, hakim menolak rayuan tertuduh dan mengekalkan hukuman Mahkamah Sesyen ke atas pasangan suami isteri berkenaan.

Menurut Dr Lim, selepas mengambil kira kepentingan awam selain kisah gajah Borneo di Sabah yang dibunuh kejam hanya kerana mahu mengambil gadingnya, hukuman ke atas tertuduh adalah memadai.

Sepanjang prosiding, perayu tidak diwakili peguam manakala responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran.

Terdahulu, dalam pertuduhan lalu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 5 Januari 2020, jam 1.30 petang di rumah pekerja Ladang Maliau Serijaya Industries Sdn Bhd di kawasan Hutan Simpan Gunung Rara (kelas II), dalam daerah Kalabakan-Tawau.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat telah memiliki atau bersubahat memiliki gading gajah berkenaan iaitu suatu hasil daripada spesis haiwan yang dilindungi sepenuhnya seperti mana disenaraikan dalam Bahagian 1, Jadual 1, Nombor 11 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 tanpa kebenaran bertulis dari menteri yang bertindak atas nasihat pengarah.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41 (1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 41(1)(a) Enakmen yang sama dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda antara RM50,000 hingga RM250,000 dan penjara antara satu hingga lima tahun.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud kemudian menjatuhkan masing-masing penjara empat tahun dan denda RM100,000.

Gagal bayar, tertuduh akan dipenjara setahun dan dijalankan secara berasingan dengan hukuman penjara sedia ada.