Mahkamah Sabah Cipta Sejarah Hukuman Berpandukan AI

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Badan kehakiman negara mencipta sejarah hari ini apabila buat pertama kali sistem kecerdasan buatan (AI) digunakan di Mahkamah Sabah untuk menjatuhkan hukuman kepada pesalah dadah di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dua tertuduh, Denis Modili, 43, dan Christopher Divingson Mainol, 26, masing-masing dihukum penjara 12 bulan dan sembilan bulan oleh Majistret Jessica Ombou Kakayun selepas menilai analisis daripada AI yang digunakan membabitkan kedua-dua tertuduh.

Sistem AI yang digunakan sebelum itu mencadangkan hukuman penjara 10 bulan terhadap Denis dan sembilan bulan kepada Christopher selepas data-data tertuduh dimasukkan ke dalam sistem seperti akta digunakan, umur, pekerjaan dan taraf sosioekonomi.

Sistem AI yang hanya akan digunakan di Mahkamah Sabah dan Mahkamah Sarawak buat masa ini membabitkan perbicaraan Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesalahan merogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Terdahulu ketika prosiding di Mahkamah Majistret, peguam Hamid Ismail yang mewakili Denis bagaimanapun membantah penggunaan AI kerana risau memberi kesan kepada setiap keputusan mahkamah.

“Walaupun mahkamah ada budi bicara atau boleh mengabaikan AI, saya risau ia mungkin mempengaruhi keputusan mahkamah dalam membuat keputusan menjatuhkan hukuman,” katanya.

Menjawab bantahan itu, Jessica berkata, AI akan terus digunakan selepas menilai hujah kedua-dua pihak.

Jelas beliau, sistem itu menganalisa data daripada kes-kes sepanjang tahun 2014 hingga 2019 di Sabah dan Sarawak sebelum memberikan cadangan kepada mahkamah.

Prosiding mahkamah itu turut dihadiri Hakim Besar Sabah Sarawak, Tan Sri David Wong dan Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat.

Wong ketika ditemui di pekarangan mahkamah berkata, beliau berpuas hati dengan penggunaan AI dan telah menjangka akan ada bantahan disebabkan penggunaannya.

“Sewaktu kami melancarkannya, kami menjangka ada cabaran yang kami akan hadapi.

“Peguam berhak menyampaikan bantahan, AI adalah alat baharu dalam mahkamah, selagi tidak diuji di mahkamah kita tidak akan tahu sama ada ia mengikut Perlembagaan atau tidak,” katanya.

Jelas beliau, sesiapa yang dtuduh juga boleh menukar rayuan mereka selepas melihat kemungkinan hukuman yang dikenakan oleh mahkamah atas cadangan AI, sebelum hakim membuat keputusan akhir.

“Kami dalam proses menggunakannya dalam kes-kes sivil seperti kemalangan kenderaan iaitu pembayaran pampasan kepada kerosakkan atau individu yang cedera, kami berharap dalam tempoh tiga atau enam bulan lagi.

“Ini adalah alat yang berguna dalam sistem kehakiman. Sebelum perbicaraan, kedua-dua pihak akan tahu berapa pampasan untuk kerosakkan, justeru peguam boleh berunding untuk penyelesaian sebelum pergi ke mahkamah,” tambahnya.