Mahkamah perintah Ainal bayar RM320K kepada Ketua Menteri

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini (Rabu) memerintahkan peguam dari Semporna Mohd Ainal Abdul Fattah supaya membayar sejumlah RM320,000 beserta bayaran kos kerana merosakkan nama Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hj Mohd Shafie Apdal sebelum pilihan raya lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Celestina Stuel Galid memerintahkan Ainal membuat pembayaran berkenaan berikutan pendakwaan berniat jahat yang difailkan pada 24 April lalu.

Ainal Fattah

Perintah bayaran itu dikeluarkan setelah Shafie memenangi kes pendakwaan terhadap Ainal, yang merupakan ahli jawatankuasa Umno Semporna pada 26 Jun lalu setelah Ainal gagal memfailkan pembelaan.

Peguam mewakili Shafie, Datuk Douglas Lind memfailkan pembayaran berjumlah RM1.3juta ke atas Ainal kerana mencemar dan memburukkan nama Shafie.

Douglas dalam hujahnya memaklumkan bahawa Ainal memfailkan semakan kehakiman untuk menghalang Shafie bertanding bukannya bertujuan mendapatkan keadilan, sebaliknya demi kepentingan politik iaitu ingin merosakkan nama Shafie selaku Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan).

Tindakan Ainal itu jelas ingin memberi kelebihan kepada Umno untuk menentang Warisan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

DOUGLAS LIND

Dalam hujah bertulisnya, Douglas menyatakan Ainal telah bertindak menyakiti dan merosakkan nama Shafie sebelum PRU14. Malah, Ainal gagal membuktikan dakwaannya untuk semakan kehakiman bagi menghalang Shafie bertanding.

Ainal menyebarkan fitnah terhadap Shafie semasa kempen Umno di Semporna dan menyiarkan dalam akhbar tempatan bahawa beliau memfailkan semakan kehakiman terhadap Shafie bagi menghalang Presiden Warisan itu untuk bertanding dalam PRU14.

Dalam kes itu, Ainal diwakili peguam Nurul Rafeeqa Abdul Mutolip.

Kes yang difailkan Ainal pada 17 April untuk semakan kehakiman itu telah ditolak mahkamah pada 8 Mei 2018, iaitu sehari sebelum hari pengundian.

Dalam kes berkenaan, Ainal menamakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden pertama dan Shafie sebagai responden kedua.

Semasa PRU14, Shafie bertanding bagi kerusi Parlimen Semporna dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang.