Mahkamah Litar Matunggong Akan Dimulakan Pada April – Jelani Hamdan

Malanjum, kiri, diiringi oleh Jelani, dua dari kiri, semasa mengadakan melawat kerja ke Pejabat Daerah Kecil Matunggong.

Oleh BORNEOTODAY
MATUNGGONG: Mahkamah Litar (Circuit Court) yang telah diluluskan pengwujudannya akan dimulakan pada bulan April 2018, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Jelani Hamdan.

Katanya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak Richard Malanjum telah meluluskan cadangan yang dikemukakan oleh beliau semasa lawatannya ke Pejabat Daerah Kecil Matunggong dan Mahkamah Anak Negeri Matunggong.

Kelulusan ini adalah ekoran beberapa siri khidmat program Mobile Court (Mahkamah Bergerak) yang telah diadakan sebelum ini.

“Saya telah mencadangkan agar diwujudkan Mahkamah Litar di Matunggong dan Richard telah meluluskan semasa lawatannya kelmarin,” katanya Selasa dalam satu kenyataan.

Menurut Jelani, Mahkamah Litar akan dimulakan pada bulan April 2018. Sebagai permulaan Hakim/Majistret/Pegawai Undang-Undang dari Mahkamah Majistret Kudat akan membuat pendengaran sebanyak dua kali sebulan.

Malanjum bersama Jelani semasa meninjau Mahkamah Anak Negeri Matunggong.

Selain itu katanya, perkhidmatan oleh seorang Pesuruhjaya Sumpah juga akan diwujudkan di Pejabat Daerah Kecil Matunggong setiap minggu.

“Dengan adanya Mahkamah Litar di Matunggong sedikit sebanyak akan dapat menyelesaikan banyak kes atau masalah seperti pengesahan Surat Beranak Lewat, kes-kes kecil seperti saman kes trafik, tuntutan kecil, kes tanah dan lain-lain.

“Ini bererti semua kes-kes yang sebelum ini di dengar di Mahkamah Majistret Kudat/Kota Marudu akan dipindahkan lokasi pendengarannya ke Matunggong sendiri.

“Saya sedang berbincang dan belum memutuskan sama ada pendengaran kes-kes tersebut akan dibuat di Urusetia Kecil Matunggong atau meminjam Dewan Bicara Mahkamah Anak Negeri Matunggong,” jelasnya.