Mahkamah Bergerak Hanya Untuk Sabahan, Bukan Warga Asing

183
David Wong Dak Wah, berdiri kanan, memerhatikan proses pengesahan permohonan daftar lewat kelahiran dalam Program Mahkamah Bergerak di Kampung Babah Bunduon, Penampang.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Jabatan Kehakiman Sabah menafikan dakwaan pihak tertentu yang mengaitkan Program Mahkamah Bergerak di seluruh negeri sebagai projek memberikan dokumen kepada warga asing.

Penasihat Program Mahkamah Bergerak Sabah, Hakim Datuk Mairin Idang @ Martin berkata, mahkamah tiada kuasa mengeluarkan apa-apa dokumen sebaliknya hanya memberi pengesahan kepada pemohon daftar lewat kelahiran untuk mendapatkan sijil kelahiran.

Tegas beliau, proses kelulusan juga tidak diberikan sewenang-wenangnya, sebaliknya mahkamah akan melakukan tapisan dan menemubual pemohon serta saksi yang dibawa bersama.

“Kami berada di situ hanya mendengar permohonan, hanya untuk sahkan sijil kelahiran yang telah lambat didaftarkan itu sahaja dan untuk tujuan itu kami perlu membuat tapisan oleh sebab itulah kami minta supaya saksi-saksi tertentu untuk sokong permohonan.

Majistret Mahkamah Kota Kinabalu menemu bual pemohon yang membuat permohonan daftar lewat kelahiran.

Kalau orang asing itu bukan warganegara, tidak menjadi satu pertimbangan yang kami harus dengar. Saksi ialah ketua kampung atau pun penduduk kampung yang kenal dengan pemohon yang tahu latar belakang bahawa bayi itu dilahirkan di kampung itu dan ibu bapanya adalah warga Malaysia tetapi masalah dia lambar mendaftar kelahiran,” katanya.

Martin yang juga Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkata demikian kepada Borneo Today ketika ditemui dalam Pelancaran Program Mahkamah Bergerak Kawasan Bandar (Urban) Anjuran Mahkamah Kota Kinabalu Dengan Kerjasama Pejabat Daerah Penampang, Mahkamah Anak Negeri Penampang dan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Penampang.

Program tersebut dirasmikan Hakim Besar Sabah Sarawak Tan Sri David Wong Dak Wah. Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan, Jannie Lasimbang dan ADUN Moyog Jennifer Lasimbang.

Martin berkata, Program Mahkamah Bergerak yang diwujudkan sejak 2006 adalah bertujuan untuk membantu rakyat Sabah terutama di kampung-kampung untuk mendaftarkan kelahiran anak-anak mereka.

Ini kerana katanya, banyak penduduk pedalaman tidak dapat keluar ke bandar untuk mendaftarkan kelahiran anak mereka dan tidak mengetahui anak yang baru dilahirkan perlu didaftarkan dalam tempoh 42 hari.

Pegawai Jabatan Imigresen turut hadir dalam Program Mahkamah Bergerak di Kampung Babah Bunduon, Penampang.

Sehubungan itu katanya, bagi mana-mana pemohon daftar lewat sijil kelahiran yang telah disenarai pendek, Mahkamah Bergerak akan mendegarnya dan mengeluarkan perintah untuk pemohon mendapatkan sijil lahir daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Kami ke kampung-kampung dan mereka telah disenaraikan untuk didengar di kampung itu, akan diproses dalam masa sehari itu juga.

“Dia akan gunakan perintah yang kami keluarkan untuk berhubung dengan JPN yang juga ada di situ supaya sijil kelahiran disahkan dan dapat didaftarkan,” katanya.

Tambahnya, sejak 2006, sebanyak kira-kira 30,000 permohonan daftar lewat sijil kelahiran telah diproses.