MAFI Sasar Lebih 3,000 Kumpulan Dapat Manfaat Kebuniti, Pertanian Organik Dalam RMK12

BELURAN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyasarkan lebih 3,000 kumpulan tani di seluruh negara akan mendapat manfaat daripada Program Kebun Komuniti (Kebuniti) dan Program Pertanian Organik menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata kedua-dua program melibatkan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi membantu masyarakat luar bandar menjana pendapatan.

“Matlamat Kebuniti adalah untuk menghasilkan tanaman untuk makanan sendiri… tentu sekali kelebihan daripada itu boleh dijadikan peluang ekonomi.

“Bagi program pertanian organik pula, matlamatnya untuk membangunkan perusahaan tani melalui kaedah pertanian mesra alam dan tentu sekali akan menghasilkan industri pertanian yang lebih baik dari segi keselamatan bio,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mesra bersama Kumpulan Tani di Zon Lingkabau di sini hari ini.

Beliau berkata usaha itu akan melibatkan agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi membantu dari segi pemasaran dalam kalangan pengusaha tani.

Kiandee, yang juga Ahli Parlimen Beluran, berkata pejabatnya sedia membantu Kementerian Kesihatan (KKM) menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di kawasan itu, termasuk pulau.

Beliau berkata pihaknya menyedari kesukaran yang dihadapi penduduk luar bandar, khususnya di pulau, mendapat akses kepada pelbagai perkhidmatan termasuk jalur lebar bagi memudahkan pendaftaran untuk program imunisasi itu.

“Bagaimanapun, saya yakin KKM mempunyai program untuk memastikan mereka (penduduk pulau dan luar bandar) menerima vaksin.

“Kita (pejabat parlimen) bersedia membantu malah di peringkat MAFI, sebilangan besar warga kementerian juga telah mendaftar sebagai sukarelawan bagi membantu KKM untuk memberi vaksin dan saya yakin di kementerian lain juga begitu,” katanya.

Kiandee turut menasihati masyarakat, terutama di luar bandar, supaya sentiasa peka terhadap program imunisasi itu bagi melandaikan lengkuk pandemik COVID-19 di negara ini.