MAFI Kenal Pasti 17,000 Hektar Penanaman Padi Menerusi Smart SBB

TELUPID: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah mengenal pasti 17,000 hektar tanah untuk pembangunan penanaman padi menerusi Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB), kata menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata program itu membabitkan empat negeri di Semenanjung iaitu Pahang, Selangor, Perak dan Kedah, manakala pelaksanaan di Kota Belud, Sabah pula sedang dalam perbincangan.

“Program Smart SBB merupakan satu konsep penglibatan pihak swasta bersama pengusaha ataupun pemilik tanah sawah di negara kita untuk kolaborasi strategik yang diharapkan akan dapat meningkatkan tahap sara diri (SSL) negara dalam pengeluaran beras.

“Ketika ini, SSL beras negara adalah 70 peratus dan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 menyasarkan SSL meningkat kepada 75 peratus, manakala 80 peratus disasarkan untuk tempoh 10 tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas Program Sentuhan Kasih Tani di Kampung Bauto di sini hari ini.

Ronald berkata untuk meningkatkan SSL beras negara, suatu pendekatan pertanian moden perlu diolah dengan pengurusan secara efisien untuk meningkatkan hasil pengeluaran beras.

Program Smart SBB antara Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 dengan menggalakkan kerjasama pengusaha sawah padi dan sektor swasta bagi meningkatkan pendapatan pesawah, seterusnya meningkatkan SSL beras negara.

Terdahulu, Ronald berkata kerajaan telah memperuntukkan RM63.32 juta setakat ini kepada MAFI bagi menjayakan Program Kebun Komuniti (Kebuniti) di seluruh negara.

Beliau berkata program itu telah memberi manfaat dari aspek ekonomi dan sosial, selain menjana peluang pekerjaan serta menyokong keperluan makanan penduduk bandar dan luar bandar. 

Menurutnya, sejak 2014 hingga 2020, sebanyak RM28.82 juta telah diperuntukkan untuk Program Kebuniti termasuk RM10 juta di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang telah memberi manfaat kepada 165,207 orang di seluruh negara.

“Susulan sambutan menggalakkan daripada masyarakat telah mendorong kerajaan untuk memberi peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta pada tahun ini selain peruntukan tahunan sebanyak RM4.5 juta yang telah memberi manfaat kepada 39,608 orang melibatkan 25,775 lokasi seluruh negara,” katanya.