Madius: UMNO Penternak PATI Sebenar Di Sabah

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KIULU: Pemberian kad pengenalan biru kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah bermula pada tahun 1991 hasil operasi khas UMNO bagi menambahkan jumlah pengundi mereka untuk menumbangkan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, maklumat tersebut boleh diperoleh dalam hansard Parlimen bertarikh 26 Februari 2007 hasil pendengaran awam Jawatankuasa Khas Parlimen yang mendengar kenyataan ahli UMNO bernama Jabar Khan.

Katanya, Jabar mengakui pada tahun 1991 satu badan bertindak taskforce ditubuhkan oleh UMNO di Sabah yang dipengerusikan Tan Sri Musa Aman (ketika itu bendahari UMNO Sabah) untuk menjatuhkan PBS.

“Dalam pendengaran awam ini datanglah seorang ahli UMNO nama dia Jabar Khan dia datang dalam pendengaran awam itu dan memberikan keterangan.

“Dia datang untuk memberi keterangan bahawa setelah UMNO masuk ke Sabah pada 1991 UMNO telah menubuhkan satu jawatankuasa bertindak taskforce dan tujuannya untuk menjatuhkan PBS.

“Bagaimana cara menjatuhkan PBS caranya dengan menternak PATI dan taskforce ini menurut Jabar Khan pengerusinya Musa Aman pada ketika itu dia adalah Bendahari UMNO Sabah dan saya fikir memang tepat jadi pengerusi sebab apabila operasi penternak PATI perlukan fulus perlukan duit sikit itulah dia bendahari.

“Beliau menyatakan bahawa taskforce ini telah berjaya memasukkan sebanyak 82,000 PATI dalam senarai pengundi kemasukkan dalam 30 kawasan DUN dengan cara memberi kad pengenalan biru kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika Majlis Bersama Rakyat di Kiulu pagi ini.

Madius berkata, keterangan Jabar menyatakan bahawa modus operandi digunakan ialah setiap PATI perlu ke balai polis untuk membuat laporan kononnya kad pengenalan mereka hilang, sebelum JPN mengeluarkan kad pengenalan untuk mereka.

“Jabar Khan mengatakan bahawa sepanjang operasi taskforce ini sebanyak 400,000 keping kad pengenalan biru telah diberikan kepada PATI.

“Kemudian untuk membuktikan bahawa jabatan ini betul-betul telah buat kerja terkutuk ini beliau sendiri telah mengaku dalam pendengaran awam itu bahawa pada akhirnya tahun 1996 beliau telah ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),” katanya.

Sehubungan itu, Madius berkata, dakwaan kononnya Parti Warisan Sabah (Warisan) ialah penternak PATI hanyalah propaganda UMNO bagi memburuk-burukkan kerajaan negeri sedia ada.

Tegas beliau, hakikatnya, penternak PATI sebenar adalah UMNO.

“Inilah keterangan inilah buktinya bahawa penternak PATI yang sebenar adalah parti UMNO, yang diketuai oleh Musa Aman,” katanya.