Madius Tangau – Kerajaan Negeri Terus Martabat Hak Orang Asal

3265

Oleh SURAIDAH ROSLAN
TUARAN: Sambutan Hari Orang Asal Sedunia yang julung-julung kali diadakan akan membantu memartabatkan lagi hak-hak orang asal di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Menteri Perdagangan & Perindustrian ini berkata, sambutan yang dianjurkan itu dilihat akan membantu meningkatkan kesedaran masyarakat orang asal serta pemimpin kerajaan tentang kewujudan Deklarasi mengenai hak-hak Orang Asal Sedunia (2007) yang perlu dijadikan panduan dalam memperjuangkan hak orang asal.

Oleh itu, hak-hak orang asal seharusnya dijadikan sebahagian daripada pemerintahan agar permasalahan seperti tanah adat tidak lagi menjadi isu.

Beliau yakin Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk mengatasi permasalahan yang dihadapi masyarakat orang asal. Ini terbukti dengan penubuhan Kementerian Undang-Undang & Hal Ehwal Anak Negeri.

“Saya bersama-sama rakan-rakan di bawah pimpinan Ketua Menteri akan berusaha sekeras-kerasnya dalam memastikan golonga orang asal dan anak-anak negeri Sabah akan terus diangkat dan dimartabatkan,” katanya ketika berucap semasa Majlis Sambutan Hari Orang Asal Sedunia peringkat Negeri Sabah, di sini hari ini (Khamis).

Madius berkata, hak-hak orang asal perlu diberikan perhatian. Dengan itu, kerajaan perlu memastikan perakuan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaksanakan.

Katanya, dalam MA63 secara jelas menyatakan syarat dan hak melindungi autonomi dan hak-hak istimewa orang Sabah & Sarawak terutama dalam bidang agama, bahasa, pendidikan, pentadbiran, ekonomi dan budaya.

Menyentuh tentang cabaran lain yang dihadapi orang asal di Sabah, beliau berkata, isu identiti orang asal perlu diberi perhatian.

Kecelaruan yang berlaku dalam menentukan identiti orang asal berlaku berikutan kad pengenalan mereka tidak mencerminkan identiti sebenar orang asal.

Oleh itu usaha perlu diambil bagi memastikan identiti orang asal di negeri ini dapat dipertahankan.

“Mengenai cabaran lain, daripada keseluruhan tiga ratus milion orang asal dunia, 15 peratus dikategorikan sebagai termiskin di dunia. Inilah yang memberi kita cabaran dalam memastikan orang asal di negeri ini mendapat pembelaan sebaik mungkin,” katanya.

Ahli Parlimen Tuaran ini berkata, isu geran tanah adat juga harus diberi perhatian serius. Ia kerana terdapat 52 kampung di Kiulu masih belum memperoleh geran tanah mereka berikutan tanah didiami masih hak tanah adat.

Oleh itu, perubahan pengeluaran geran tanah daripada geran komunal kepada geran tanah adat individu diharap mampu mempermudahkan pemberian geran tanah.