Madius: Pastikan Kerusi Parlimen Di Sabah Ditambah

153

Oleh BORNEOTODAY
PARLIMEN: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menghargai usaha Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memungkinkan pengwujudan 13 kerusi baru Dewan Undangan Negeri Sabah.

“Tahniah dan terima kasih kepada Perdana Menteri. Saya juga meminta supaya kelulusan ini perlu di susuli dengan pengwujudan kawasan Parlimen yang baru bagi Sabah.

“Bagi Tuaran, dan selaku juga Presiden UPKO, penambahan ini adalah asas yang amat penting untuk Sabah lebih progresif dibawah kepimpinan YAB Ketua Menteri, supaya Sabah lebih berdaya saing, dinamik dan di kemas kini,” kata beliau.

“Namun yang juga sama penting ialah memastikan agihan kerusi Parlimen seimbang dikalangan tiga wilayah yakni Semenanjung, Sabah dan Sarawak berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963,” tambah beliau.

Presiden UPKO itu berkata demikian kepada wartawan ketika diminta menghuraikan intipati perbahasan beliau semasa turut serta bersuara terhadap pindaan kepada Perintah Perlembagaan Perlembagaan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya) (Negeri Sabah) 2019 di sini petang ini.

Madius berkata, “Sabah dan Sarawak seharusnya mempunyai satu per tiga daripada jumlah keseluruhan kerusi Dewan Rakyat, atau lebih kurang 74 daripada 222 kerusi yang ada kini.

“Sekarang, Sabah hanya ada 25 kerusi Parlimen, dan Sarawak lebih sedikit iaitu 31. Tapi ini sangat kurang berbanding 166 di Semenanjung. Ini bermakna Semenanjung sendiri boleh mendapatkan jumlah dua pertiga majoriti kerusi yakni sekurang-kurangnya 148. Ini bertentangan dengan MA63.”

Madius juga merasakan ada asas kepada dakwaan beberapa pihak yang mengatakan wujud unsur ‘gerrymandering’ oleh Suruhanjaya Pilihan Raya ketika membuat persempadan.

“Saya menyeru supaya SPR mengambil kira dakwaan-dakwaan itu, selain tidak menggunakan keterlambatan penambahan DUN Sabah sebagai alasan untuk tidak menambah lagi kerusi negeri dalam kajian menyeluruh yang akan datang,” tegas beliau.