Laksana Usul RCI Barulah Pendaftaran Automatik Untuk Mengundi

Oleh BORNEOTODAY
KUALA LUMPUR: UPKO menyokong penuh pindaan undang-undang mengenai penurunan umur daripada 21 tahun menjadi 18 untuk layak mengundi.

UPKO juga menggesa penarikan balik semua kad pengenalan Malaysia untuk warga Sabah dan dikeluarkan selepas saringan dibuat sebelum pendaftaran automatik dilaksanakan di Sabah.

Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, “Bagi UPKO secara khusus, sememangnya pengiktirafan penglibatan generasi muda sudah kami lakukan lebih 15 tahun yang lalu apabila Majlis Tertinggi UPKO bersetuju untuk mengwujudkan Pergerakan Komulakan bagi belia beliawanis berumur 18 hingga 35 tahun. Justeru, kami tidak ada halangan menyokong pindaan ini.”

“Bagi saya, dan saya percaya majoriti Ahli Dewan Rakyat dari Sabah, pelaksanaan itu sebaiknya hanya dilakukan selepas Kerajaan menunaikan semua cadangan serta usul dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Di Raja atau RCI mengenai masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah.

“Sebelum pendaftaran otomatik, kami menggesa Kerajaan untuk terlebih dahulu melakukan, dengan izin, ‘a total recall of all Malaysian ICs in Sabah and re-issuing it only after stringent screening by all stakeholders’. Jabatan Pendaftaran sudah beberapa kali tukar dan upgrade kad pengenalan kita; tidak ada alasan mengapa usul UPKO ini dan suara ramai tidak dapat dilaksanakan terutama di Sabah,” tambah beliau.

Madius, Ahli Parlimen Tuaran, berkata demikian ketika membahas Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 Usul pindaan Perkara 119(1) bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun di sini hari ini.

Beliau menekankan, “Ia mungkin memakan masa beberapa bulan, atau pun tahun, namun UPKO percaya ini sahajalah penyelesaian tuntas untuk isu PTI. Lagipun, piliharaya umum di Sabah hanya akan diadakan tiga tahun daripada sekarang; jadi kita ada masa untuk melakukannya.”

Madius juga menerangkan, data pertambahan penduduk Bumiputera Sabah dari tahun 1960 hingga 2000 menunjukkan peningkatan luarbiasa iaitu sebanyak 417 peratus atau sama seperti sepasang suami isteri menghasilkan 834 anak dalam tempoh 40 tahun.

“Yang paling menakjubkan lagi adalah pertambahan penduduk kaum Bumiputera Melayu di Sabah iaitu sebanyak 18,350 peratus dalam tempoh yang sama. Ini bermakna, pasangan (kaum Bumiputera Melayu) yang berkahwin pada tahun 1960 telah menghasilkan 36,700 zuriat dalam tempoh masa 40 tahun sahaja! Menurut perangkaan rasmi, kadar kelahiran di Sabah hanya 13.7 peratus,” kata Madius yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Beliau juga bertanya apakah usaha Kerajaan Pakatan Harapan terhadap usul dan cadangan RCI yang sudah pun dibentangkan di Parlimen tiga tahun lalu.