Madius Tangau: Inisiatif Tingkatkan Perindustrian

302
Bersama CM melawat Pameran anjuran MTI d Bangunan DUN

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah, yang komited untuk membangunkan sektor perindustrian, telah mengenal pasti pelbagai inisiatif agar sumbangan perindustrian kepada keluaran dalam negara kasar (GDP) setahun meningkat daripada 7.3 peratus pada tahun 2017 kepada 35 peratus pada 2030.

“Sektor perindustrian merupakan sektor yang telah terbukti mampu menggerakkan pertumbuhan ekonomi seperti mana yang berlaku di negara-negara maju seperti Korea Selatan, Jerman dan Jepun; dimana sumbangan industri kepada GDP ialah 35 peratus,” kata Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan & Perindustrian Sabah.

Antara inisiatif yang akan diambil ialah membangunkan taman perindustrian yang baharu dengan ‘business model’ baharu yang kondusif untuk pelaburan, termasuklah memastikan harga tanah berpatutan.

“Kita juga akan meningkatkan lagi usaha untuk membangun jaringan jalan raya yang lebih baik, justeru semoga pembinaan jalanraya Pan Borneo perlu dipercepatkan, serta menyediakan prasarana dan bekalan utiliti seperti air dan elektrik yang mencukupi,” kata beliau semasa menjawab soalan daripada ahli Dewan Undangan Negeri Luyang, Phoong Jin Zhe di DUN hari ini.

Kerajaan akan terus memajukan Digital Free Trade Zone, yang sudah pun mendapat kelulusan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, tambah beliau.

“Penyediaan Pelan Induk Perindustrian baharu bagi menggariskan Pelan Tindakan Strategik agar mekanisma penyelarasan lebih mantap dalam melaksanakan dasar industrialisasi kerajaan juga akan mula dibuat dalam masa terdekat,” kata Madius.

Beliau berkata, Kementerian akan meningkatkan lagi usaha untuk mempromosi peluang-peluang pelaburan terutama dalam aktiviti-aktiviti hiliran bernilai tinggi khususnya dalam industri hiliran minyak dan gas di SOGIP, perkayuan di Hub Perabot, Sandakan dan kelapa sawit di POIC Lahad Datu.

Madius berkata, bagi tempoh 2014 -2017 (data statistik bagi tahun 2018 belum dikeluarkan) Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP) Sabah telah meningkat daripada RM66.3 bilion pada tahun 2014 kepada RM79.8 bilion pada tahun 2017.

Dari segi sumbangan sektor kepada GDP, selaras Buku Tahunan Perangkaan Sabah 2017, penyumbang terbesar ialah sektor perkhidmatan RM31.8 billion (39.9%), diikuti oleh perlombongan & pengkuarian RM24.9 billion (31.3%), pertanian RM14.9 billion (18.7%), pembuatan RM5.8 billion (7.3%) dan pembinaan RM1.9 billion (2.4%) bagi tahun 2017.

Diperingkat nasional, dengan pendapatan per kapita sebanyak RM23,979.00 (Malaysia : RM42,228.00) Sabah menduduki tempat ke empat dari bawah selepas Perlis, Kedah dan Kelantan.

Sabah juga mempunyai kadar pengangguran tertinggi sebanyak 5.6% berbanding kadar nasional 3.4%.