Madius Beri Keterangan Polis Tiga Jam, Nafi Mahu Cetus Isu Agama

Madius menunjukkan memorandum berkaitan ciapannya di dalam Facebook dan telah diserahkan kepada pihak polis di pejabatnya hari ini.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Dua pegawai polis hadir di pejabat Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau untuk mengambil keterangan beliau berhubung ciapan di akaun Facebook miliknya berkaitan isu agama.

Proses tersebut berjalan selama lebih tiga jam bermula pukul 10 pagi di Wisma Kewangan.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Madius berkata, beliau sendiri telah menjemput pihak polis ke pejabatnya bagi membantu siasatan berikutan laporan polis ke atas dirinya.

Katanya, beliau percaya polis akan melakukan siasatan sewajarnya dan juga telah menyerahkan memorandum berkaitan kenyataannya di Facebook kepada pihak berkuasa untuk memudahkan siasatan.

“Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dan hari ini saya telah menjemput mereka datang untuk memberikan keterangan.

“Saya juga telah menyerahkan memorandum yang ditandatangan oleh 2,000 orang 38 tahun lalu kepada polis tetapi saya tidak boleh nyatakan lebih lanjut kerana kes ini dalam siasatan,” katanya.

Pada 21 Julai lalu, Madius dalam ciapan di dalam Facebook memuji langkah Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang melawat gereja St. Theresa di Tambunan serta mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk membaik pulih pusat ibadat penganut Katolik itu.

Bagaimanapun, dalam ciapan sama, beliau mengatakan 38 tahun dahulu, seorang bekas Ketua Menteri telah melakukan pengislaman beramai-ramai di Tambunan yang terpaksa dituruti oleh penduduk di situ kerana menerima ugutan seperti tidak diberikan pekerjaan atau tanah.

Berikutan itu, lebih 30 laporan polis telah dibuat oleh pelbagai pihak yang meminta siasatan dijalankan ke atas Madius.

Ditanya tentang desakan supaya beliau memohon maaf, Madius menegaskan perkara tersebut tidak perlu kerana ciapannya bukan berniat untuk menimbulkan ketegangan agama.

“Saya merujuk kepada tindakan orang-orang yang terlibat (38 tahun dahulu) bukannya merujuk kepada mana-mana agama,” katanya.

Menurut Presiden UPKO itu, beliau sentiasa mendokong semangat hormat-menghormati dan saling bertoleransi antara masyarakat berbilang kaum di negeri ini serta akan terus mempertahankannya.

“Sebagai Presiden UPKO, saya sendiri telah menububkan Biro Agama dan Keharmonian Kaum di dalam parti.

“Bukan kehendak saya menunjukkan tidak hormat kepada mana-mana agama, saya sentiasa menyokong keharmonian antara agama dan kaum di Malaysia.

“Saya bangga kerana orang Sabah terikat oleh semangat bertoleransi antara agama yang tinggi,” jelas beliau.

BERITA BERKAITAN :-

Tafsiran Berbeza Punca Kenyataan Madius Disalah Erti – Shafie Apdal

Polis Buka Kertas Siasatan Berhubung Kenyataan Madius Tangau