MA63: Tiada Pengumuman Baharu, PM Janji Rundingan Diteruskan

145

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Jangkaan pelbagai pihak bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad akan mengumumkan sesuatu yang baru kepada Sabah dan Sarawak sempena sambutan Hari Malaysia 2019 terutama berkaitan hak kedua-dua negeri nampaknya tidak tepat.

Perdana Menteri bagaimanapun berjanji bahawa kerajaan Pakatan Harapan masih meneruskan usaha-usaha untuk mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak termasuk menyelesaikan beberapa perkara berbangkit.

Katanya, kesungguhan tersebut dibuktikan melalui penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kita harap rakyat dan pemimpin dari kedua-dua negeri ini dapat melihat kesungguhan dan keikhlasan Kerajaan Persekutuan untuk meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi kepada Semenanjung Tanah Melayu seperti yang termeterai ketika Malaysia kita dibentuk bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Malaysia 2019 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, Kuching, malam ini.

Sambutan tersebut diceriakan dengan kehadiran Yang Dipertua Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali; Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal bersama isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib; Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri Datin Patinggi Juma’ani Tuanku Bujang.

Dalam ucapannya, Dr. Mahathir menyeru setiap rakyat Malaysia agar mengekalkan perpaduan yang ada walaupun terdiri daripada pelbagai bangsa, etnik dan agama.

Beliau berkata, terdapat usaha-usaha untuk melemahkan perpaduan negara yang dilakukan oleh rakyat Malaysia sendiri terutama melibatkan perkara emosional seperti kaum, agama, kenegerian dan kumpulan etnik.

“Saya harap kita semua tidak lupa bahawa kesepakatan penyatuan ini perlu difahami dan dihayati oleh segenap rakyat Malaysia, perbezaan pendapat antara kita adalah perkara biasa terutama apabila kita tidak lagi terancam, ia perlu dirai dan dihargai, bukan dijadikan faktor perpecahan.

“Amat mudah untuk kita terperangkap dengan isu-isu ini kerana ianya dekat di hati kita, tetapi jika kita berjiwa besar, ada keyakinan diri dan berfikiran waras, kita tidak akan benarkan diri kita dipengaruhi.

“Setelah bersama di dalam keluarga besar Malaysia lebih lima dekad, saya yakin majoriti rakyat Malaysia menolak pemikiran sempit dan jumud ini dan akan terus bersama mempertahankan perpaduan kita,” kata Perdana Menteri.