MA63: Shafie, Leiking Antara 16 AJK Pemandu Diketuai Tun Mahathir

7344
Shafie Apdal dan Darell Leiking, kanan, antara 16 anggota Jawatankuasa Pemandu MA63 yang diketuai oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew View Keong Rabu mengumumkan 16 nama anggota Jawatankuasa Pemandu yang diketuai Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyemak dan menyelaraskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Selain beliau, mereka yang menganggotai jawatankuasa itu ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo;

Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kerja Raya Baru Bian, Menteri Perdagangan Antarabangsa Darell Leiking, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk David Wong Dak Wah, Peguam Negara Tommy Thomas, Professor Undang-undang Universiti Malaya Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, Peguam Besar Sabah Zaleha Rose Pandin dan Peguam Besar Sarawak Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid.

Liew berkata, jawatankuasa itu juga akan mengadakan mesyuarat dalam masa sebulan di Putrajaya bagi menentukan hala tuju mengenai MA63 ini.

LIEW VUI KEONG

Liew yang menghadiri program ‘Law Reform Talk’ di Universiti Malaya di sini, hari ini (Rabu) berkata, antara isu yang akan dikaji dalam MA63 termasuk isu tuntutan royalti minyak serta pembangunan di Sabah dan Sarawak.

“Saya berpendapat ia sangat terangkum dengan meliputi begitu banyak isu yang sangat dekat di hati dan minda setiap penduduk Sabah serta Sarawak.

Liew berkata, jawatankuasa itu akan mengkaji keseluruhan MA63 secara inklusif termasuk isu royalti minyak dan pembangunan Sabah dan Sarawak.

Menjawab kritikan bahawa jawatankuasa itu hanya terdiri daripada Menteri Kabinet, beliau berkata perkara itu tidak benar kerana Peguam Besar Sabah dan Sarawak turut dilantik menganggotainya.

“Selepas enam bulan, laporan jawatankuasa itu akan dibentangkan dan buat masa ini kita akan mengadakan mesyuarat bulanan dalam tempoh berkenaan,” katanya.

MA63 yang ditandatangani di London pada 7 Julai 1963 menjadi detik permulaan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Perjanjian Malaysia diperkenankan pemerintah British, Ratu Elizabeth II, disusuli Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Putra Syed Hassan Jamalullail pada 26 Ogos 1963.

Daripada MA63 itulah diwujudkan Akta Malaysia yang kini sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan.