MA63: Sabah Dan Sarawak Berkongsi Pandangan Dalam Tuntutan Hak-Hak

2076
Abang Johari menyambut Shafie Apdal sebaik tiba Ketua Menteri Sabah ke pejabatnya di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Khamis.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KUCHING: Sabah dan Sarawak mempunyai pandangan yang sama dalam menuntut hak-hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, itu antara persetujuan yang dicapai bersama Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Openg ketika membincangkan tentang perkara itu semasa Kunjungan Hormat kepada Ketua Menteri Sarawak di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak, di sini pada Khamis.

Walaupun hak kedua-dua negeri itu perlu dilindungi namun, Shafie menyatakan kepentingan negara secara keseluruhan juga harus dilihat. Ini bagi membolehkan Malaysia terus maju ke hadapan.

“Kita (Sabah & Sarawak) sependapat dalam hal berkaitan MA63,” katanya kepada pemberita.

Namun disebabkan masa tidak mencukupi, Shafie dan Abang Johari tidak dapat berbincang lanjut mengenai perincian dalam MA63 semasa pertemuan selama sejam berkenaan.

Shafie turut memaklumkan bahawa Sabah kekal dengan pendirian untuk menuntut pembayaran royalti minyak dan gas berasaskan pendapatan kasar.

“Penyelarasan dalam pembayaran royalti perlu dilakukan. Ia tidak boleh kekal sama (lima peratus) dari tahun 1974,” katanya ketika menjawab pertanyaan media.

Shafie berada di Sarawak untuk lawatan dua hari.

Pada Jumaat, beliau dijadualkan bertemu dengan Yang DiPertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau turut diiringi oleh isterinya Datin Seri Shuryani Shuaib, Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusuf Yacob dan Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony.

Shafie turut membincangkan tentang kemungkinan untuk membeli lebihan bekalan elektrik dari Sarawak dan perkara ini akan dibincangkan secara mendalam tidak lama lagi.

Menurutnya, jika harga yang ditawarkan cukup kompetitif. Ia lebih baik berbanding membina loji janakuasa baharu yang memerlukan kos lebih tinggi.

“Jika kita boleh membeli bekalan kuasa dari Sarawak pada harga yang munasabah, kenapa tidak. Lagipun kos menghasilkan bekalan tenaga di Sarawak jauh lebih murah berbanding yang dihasilkan di Sabah.

Selain itu, terdapat juga keperluan untuk kedua-dua negeri bekerjasama dalam menghasilkan komponen-komponen kenderaan apabila kilang automotif di Sabah mula beroperasi.

Tan Chong Motors merancang untuk membina kilang pemasangan kenderaan untuk pacuan empat roda di Sabah.

Dalam masa yang sama, kedua-dua negeri juga boleh menjalankan usaha promosi bersama dalam meningkatkan industri pelancongan dikedua-dua negeri.