MA63: Rundingan Di Landasan Tepat Lebih Telus Berbanding Kerajaan Lama

537

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah diminta bersabar dan meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk membawa tuntutan hak negeri ini dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan Putrajaya.

Penasihat MA63 Kepada Kerajaan Sabah, Zainnal Ajamain berkata, walaupun terdapat desakan daripada rakyat agar MA63 dilaksana segera, namun perkara itu tidak semudah yang disangka kerana memerlukan rundingan secara berhemah daripada semua pihak terlibat.

Katanya, pengumuman Jawatankuasa Pemandu MA63 baru-baru ini bahawa tujuh daripada 21 perkara yang dirunding telah dipersetujui diserahkan kepada Sabah membuktikan ketelusan proses itu berbanding ketika zaman Barisan Nasional (BN) memerintah.

“Kalau kita bandingkan kerajaan yang dulu dengan Warisan sekarang, Warisan dapat tujuh yang dulu kosong, dua tahun bincang kosong, ini enam bulan bincang dapat tujuh takkan rakyat tidak pandai berfikir yang dulu lebih teruk adik beradik menteri, seorang Persekutuan seorang lagi Ketua Menteri apa dia dapat kosong,” katanya ketika ditemubual Borneo Today hari ini.

Pejabat Perdana Menteri sebelum ini mengesahkan proses pelaksaan hak-hak Sabah dan Sarawak mengikut MA63 berada di landasan positif, malah tujuh daripada 21 perkara yang dibincangkan oleh Kerajaan Persekutuan dengan Sabah serta Sarawak telah pun mendapat persetujuan.

Perbincangan tentang MA63 merupakan antara isu nasional yang semakin hangat dibincangkan sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini terutama selepas tahun lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan hak Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung akan dikembalikan.

Zainnal berkata, isu berkaitan royalti minyak adalah antara yang paling panas, kerana masih belum tertunai bagaimanapun mengakui rundingan tentang tuntutan tersebut sangat terperinci untuk mengelakkan kerugian mana-mana pihak.

“Minyak ada dua bahagian, satu yang import dan kedua yang dieksport, kedua-duanya bukan kecil melibatkan kewangan berbilion-bilion sama ada kalau ambil dari seorang, seorang lagi akan kekurangan, kita di Sabah ini sudah kekurangan begitu lama dan kalau kita mahu tarik semua bererti kekurangan di sebelah Malaya pasti.

“Jadi isunya di sini macam mana, orang kata bertimbang tara, ambil sikit bagi mereka, dan kita juga ada atau tarik semua, kita ada timbang rasa tidak mahu tarik semua tetapi tidak mahu rugi jadi di dalam konteks macam itu perbincangan dia akan mengambil masa sebab itu minyak dan gas tidak sebahagian daripada yang tujuh ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas tentang semangat sambutan Hari Malaysia, Zainnal menyatakan kekesalan kerana hanya diraikan di Sabah atau Sarawak secara bergilir-gilir setiap tahun sedangkan Semenanjung juga sepatutnya meraikannya.

“Sepatutnya cakap betul-betul, kalau kamu boleh raikan 31 Ogos kenapa tidak boleh raikan 16 September, itu yang dipanggil tolak ansur, kita rakan sekutu bukan, sepatutnya ada tolak ansur ini tidak mahu langsung jadi macam mana.

“Sambutan hanya di Sabah, Sarawak, kita saja yang Malaysia mereka bukan, saya berharap buka mata terhadap Hari Malaysia jangan sahaja setakat Sabah dan Sarawak sepatutnya seluruh negara buka mata apa erti dia Hari Malaysia, Hari Malaysia adalah berdasarkan MA63,” katanya.