MA63!! Nah, Apa Lagi Yang Mahu Pembangkang Bangkitkan – Zahid

3766
Zahid Hamidi bergambar kenangan bersama pelajar pelajar politeknik dan masyarakat Kota Belud serta Musa, Rahman, Salleh, Pandikar, Mary dan Musbah Majlis Pecah Tanah Politeknik Kota Belud di Kg Kesapang. – Gambar ihsan Irzan Shuhaibun/Jabatan Ketua Menteri Sabah

KOTA BELUD: Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa hak rakyat Sabah yang tercatat dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Sambil mengulangi komitmen Perdana Menteri Najib Razak berhubung isu MA63, katanya beliau menyokong dan mendukung agar mana-mana hak dalam perjanjian berkenaan yang terambil atau terlepas pandang dikembalikan kepada rakyat Sabah.

“Kita tahu, ada yang cuba mempromosikan ‘Sabah For Sabahan’, kononnya MA63 adalah sesuatu yang harus diperjuangkan oleh pihak berkenaan. Tetapi, saya mewakili Perdana Menteri, saya mewakili BN akan memberi jaminan bahawa MA63 akan termasuk dalam manifesto (BN) dan hak orang Sabah akan pasti terus dipertahankan.

“Jangan ingat kerajaan BN tidak ambil peduali tentang MA63. Kerana kita yakin dan percaya dengan komitmen perdana menteri bahawa mana-mana dalam MA63 yang telah terambil ataupun terlepas pandang, pasti dan akan dirundingkan sebab tuntutan orang Sabah seperti tercatat dalam MA63 berhak untuk dipenuhi.

“Kalau itu menjadi isu, dan menjadi keprihatinan BN, apa lagi yang mahu mereka (pembangkang) bangkitkan,” tanya Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesrah Bersama Penduduk Kota Belud di Kampung Kesapang di sini, hari Jumaat.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Musa Aman, Yang Dipertua Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Anggota Parlimen Kota Belud Abdul Rahman Dahlan, Menteri Komunikasi dan Multimedia Dr Salleh Said Keruak dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Mary Yap Kain Ching.

Ahmad Zahid berkata beliau akan membantu Najib dalam memantau pelaksanaan dasar-dasar yang berkaitan dengan proses pengembalian hak rakyat Sabah dalam MA63 berkenaan.

“Ini adalah kerajaan BN…janji ditepati, kata dikota. Dalam hal janji ditepati dan janji dikota ini, mahkamah rakyat akan menentukan (menilai) jika kami tidak memberi prestasi yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata BN telah mencapai prestasi perkhidmatan terbaik untuk rakyat dan negara sejak PRU13 berdasarkan manifesto BN pada pilihan raya tersebut.