MA63: Laporan Akhir Siap, Akan Dibentang Tidak Lama Lagi

134

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Jawapan sebenar tentang tuntutan hak-hak Sabah dan Sarawak di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan terjawab tidak lama lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, laporan akhir berhubung hasil semakan isu serta cadangan hala tuju MA63 sudah disiapkan dan akan dibentangkan dalam tempoh terdekat ini.

Katanya, pembentangan akan dibuat kepada Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sejak awal tahun lagi jawatankuasa ini telah membincangkan dan meneliti isu-isu yang dikemukakan oleh negeri Sarawak dan Sabah, buat masa ini sebanyak tujuh isu mendapat persetujuan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah serta Sarawak.

“Saya rasa selepas sahaja mesyuarat terakhir jawatankuasa khas Kabinet ini, maka kita akan dapat tahu apa hala tuju mengenai laporan akhir yang telah pun disediakan,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

ALEXANDER NANTA LINGGI

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi mengenai status terkini rundingan MA63 yang sedang berjalan.

Vui Keong berkata, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi jaminan perbincangan tentang pelaksanaan hak-hak Sabah dan Sarawak itu tidak akan terhenti di peringkat Jawatankuasa Khas Kabinet sahaja.

Katanya, selepas ini, Jawatankuasa Pemantau akan ditubuhkan untuk memastikan laporan akhir yang dikeluarkan nanti boleh diambil tindakan atau dilaksanakan.

“Untuk memastikan semua perkara yang telah dibincangkan dalam jawatankuasa akan dapat diteruskan walaupun jawatankuasa mesyuarat telah pun tamat, kita akan tubuhkan satu unit pemantau untuk memastikan semua perkara yang telah pun dibincangkan dalam jawatankuasa ini akan dipantau, diteruskan dalam masa terdekat untuk semua isu-isu yang tidak dapat diselesaikan misalnya mengenai nilai yang boleh dikira berapa kewangan yang telah dtidak dibayar.

“Tun Mahathir akan teruskan perbincangan dengan Ketua Menteri Sabah dan Ketua Menteri Sarawak selepas kita adakan mesyuarat terakhir itu,” katanya.

Tambahnya, Jawatankuasa Pemantau akan mengandungi elemen dasar, perundangan, pelaksanaan serta pelan tindakan bagi MA63.