LPPB Sabah Rancang Bina Rumah Berkonsep ‘Sewa Beli’ Untuk Golongan B40

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) merancang untuk membina rumah mampu milik (RMM) berkonsepkan ‘sewa beli’ bagi membolehkan golongan B40 memiliki rumah sendiri.

Pengerusi LPPB, Datuk Masiung Banah berkata, satu garis panduan sedang dirangka bagi menjayakan cadangan tersebut dalam tempoh empat tahun akan datang.

Beliau berkata, cadangan itu juga bertujuan untuk memastikan pasangan muda yang tinggal di sekitar bandar dan pekan di seluruh Sabah dapat memiliki kediaman sendiri.

Katanya, berdasarkan kajian yang dilakukan, sebahagian besar rakyat di negeri ini belum mampu memiliki rumah kerana tidak memenuhi syarat kelayakan apabila membuat pinjaman bank.

“Atas sebab itu, LPPB akan menggariskan langkah jangka panjang untuk membina rumah secara sewa beli tanpa perlu syarat pinjaman daripada institusi kewangan.

“Pembeli hanya perlu menandatangani perjanjian sebelum menduduki rumah yang kemudiannya menjadi hak milik mereka selepas habis dibayar menerusi sewa bulanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Masiung berkata, sebelum ini LPPB ada bekerjasama dengan syarikat swasta membina RMM berharga di bawah RM250,000. Namun, masih ramai rakyat Sabah terutama golongan B40 gagal melepasi kelayakan pinjaman bank.

Beliau berharap dengan langkah terbaru LPPB untuk membina rumah kos sederhana berkonsepkan sewa beli itu, rakyat di negeri ini akan mengambil kesempatan khususnya pasangan muda untuk memiliki rumah sendiri.

“Kini, kita sedang menyiapkan kertas cadangan untuk dikemukakan kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berhubung cadangan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, LPPB memiliki banyak tanah rizab yang perlu dibangunkan di seluruh negeri tetapi malangnya sebahagian besar kawasan itu telah dicerobohi dengan penempatan setinggan dan kilang-kilang kecil.

Katanya, usaha LPPB bagi membangunkan tanah rizab yang ada, diharap dapat mengurangkan kewujudan penempatan setinggan di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut ini berkata, memandangkan Sabah merupakan antara negeri yang mempunyi rumah setinggan tertinggi di negara ini, usaha perlu diambil bagi membangunkan lebih banyak perumahan.

Masiung berkata, kerajaan perlu mendirikan lebih banyak rumah kos sederhana memandangkan pertumbuhan penduduk yang semakin meningkat.

Menurutnya, pertambahan bilangan rumah setinggan di negeri ini amat membimbangkan dan ia banyak menyumbang kepada masalah penyambungan elektrik dan air secara haram serta pelupusan sampah yang tidak teratur.

Katanya, kewujudan setinggan di kawasan bandar turut menjejaskan imej bandaraya di mata pelancong selain mengundang pelbagai masalah jenayah.

Menurut laporan Jawatankuasa Utama Negeri mengenai keadaan setinggan di Sabah pada Februari tahun lalu, terdapat 227 penempatan setinggan dengan jumlah 157,188 orang terdapat di seluruh negeri ini.

Daerah Kota Kinabalu mencatatkan jumlah tertinggi dengan 54 penempatan setinggan, yang dududuki seramai 34,173 orang, disusuli Sandakan 34 penempatan (29,192 orang), Tawau 28 (15,079 orang), Semporna 18 (31,292), Lahad Datu mempunyi 14 penempatan setinggan (21,084 penduduk) manakala Beluran sebanyak 2,640 dan Putatan 10 penempatan 2,206 penduduk.