Lori Tangki Air Dihantar ke Kawasan Bekalan Air Ditutup Akibat Banjir – Bung Moktar

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi jaminan lori tangki air akan dihantar ke kawasan yang berhadapan dengan penutupan air akibat kejadian banjir yang berlaku pada Rabu.

Menteri Kerja Raya ini berkata, disebabkan loji rawatan air ditenggelami banjir maka, bekalan air di kawasan terjejas banjir di Penampang terpaksa ditutup bagi mengelakkan loji mengalami kerosakan yang teruk.

Beliau berkata, jika loji ditenggelami air yang berlumpur, ia akan mengambil sedikit masa bagi membersihkan dan menggantikan alat yang mengalami kerosakan.

“Sekiranya ada peralatan yang rosak, kita memerlukan sekitar sebulan untuk menggantikannya dengan alat baharu kerana ia perlu ditempah dari luar negara. Oleh itu, kita berharap tiada bahagian yang rosak teruk dalam kejadian banjir baru-baru ini.

“Malah, saya juga telah mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk melihat perkara ini dan kita akan menghantar tangki air bagi memastikan penduduk terjejas menerima bekalan air bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Notis kerjasama antara Jabatan Kerja Raya (JKR) persekutuan dan negeri bagi pelaksanaan Program Integrasi Data Sistem Skala-Palms (Sistem pentadbiran, pemanfaatan dan pengurusan projek).

Dalam pada itu, beliau berkata, satu jawatankuasa khas juga telah ditubuhkan untuk mengkaji dan menyelesaikan isu-isu berkaitan bencana alam terutama banjir dan tanah runtuh di Sabah.

Pada masa ini, setiap kali hujan turun selama empat hingga lima jam, banjir kilat pasti akan berlaku dan tanpa mengetahui daripada mana sumber dan puncanya. Maka, kajian akan dilakukan bagi mengenal pasti dan seterusnya mencari kaeadah penyelesaian atasi masalah banjir kilat ini.