Lori Rempuh Rumah, Jatuh Gaung Di Tamparuli

TUARAN : Sembilan sekeluarga mengalami detik cemas selepas kediaman mereka dirempuh sebuah lori semi treler yang hilang kawalan dalam kejadian di Kampung Kapa, Jalan Ranau, Tamparuli, di sini, pagi tadi.

Akibat kejadian itu, rumah terbabit rosak 90 % manakala pemandu lori treler dan kelindannya cedera selepas kenderaan itu terjunam ke dalam gaung sedalam 500 meter selepas merempuh rumah berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Abd Qawie Abd Gapar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu jam 7.48 pagi.

Katanya sepasukan 14 pegawai dan anggota dari BBP Tuaran bersama kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS)
dikejarkan ke lokasi yang terletak 22 kilometer dari balai.

“Kemalangan melibatkan sebuah lori semi treler yany terbabas sendiri dan melanggar sebuah rumah di tepi jalan yang mengalami kerosakan 90%.

“Lori itu kemudiannya terjatuh ke dalam gaung sedalam 500 meter.

“Terdapat 2 orang mangsa mengalami kecederaan di dalam lori,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abd Qawie, 9 penghuni rumah berusia antara 19 tahun sehingga 82 tahun, terselamat.

Katanya, pemandu lori hanya cedera ringan manakala kelindannya cedera parah.

Mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh Pasukan EMRS seterusnya dihantar ke hospital menggunakan kenderaan EMRS dan ambulans untuk rawatan lanjut.

Setelah memastikan tiada kemerbahayaan lain di lokasi, operasi ditamatkan jam 9.50 pagi.

Punca kemalangan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.