Lori Membawa Muatan Balak Bertembung Lori Treler, 2 Maut

TELUPID: 2 maut apabila sebuah lori membawa muatan kayu balak bertembung dengan sebuah lori treler di Kampung Bauto, Jalan Telupid di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, kedua-dua mangsa iaitu pemandu lori membawa muatan kayu balak dan pemandu lori treler
disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Beluran Edoen Macheal berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu jam 10.25 pagi.

Katanya sepasukan 7 pegawai dan anggota dari BBP Beluran dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 90 kilometer dari
balai.

“Kemalangan melibatkan sebuah lori muatan kayu balak yang bertembung dengan sebuah lori treler.

“Terdapat dua orang mangsa lelaki terlibat iaitu pemandu kedua-dua lori berkenaan dan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan jentera bomba.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menurut Edoen, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan untuk memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan jam 12.20 tengahari.