Loji Rawatan Air Tawau Perlu Diutamakan

87
Ewon ketika sidang media.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
KALABAKAN: Cadangan pembinaan loji rawatan sedang di peringkat penelitian Unit Perancang Ekonomi negeri dalam usaha mengatasi masalah bekalan air di daerah ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick berkata, pihaknya menyokong cadangan itu diberi keutamaan dalam usaha mengatasi masalah bekalan air yang kerap berlaku khususnya membabitkan kawasan luar bandar.

“Projek pembinaan loji rawatan memerlukan perutukan bajet yang sangat besar.

“Justeru, ia perlu melalui proses tertentu seperti cadangan di peringkat daerah, kerajaan negeri, Unit Perancang Ekonomi sebelum dikemukakan di peringkat Kerajaan Pusat bagi tujuan pembiayaan dana,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian bangunan baharu Pejabat Daerah Kalabakan, di sini hari ini.

Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Dumi Pangiran Masdal.

Ewon, kanan, ketika merasmikan bangunan baharu Pejabat Daerah Kalabakan.

Menurut Ewon, pihaknya yakin projek itu akan terlaksana apatah lagi Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sendiri mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah untuk menyelesai masalah bekalan air di sini dengan segera.

“Di peringkat kementerian saya, kami mempunyai peruntukkan kecil untuk kerja meneroka sumber air bawah tanah khususnya di kawasan luar bandar.

“Bagaimanapun, ia perlu dilakukan secara berperingkat dari satu kawasan ke kawasan lain sekali gus membantu mengurangkan masalah penduduk,” katanya.

Sementara itu, Ewon menyifatkan pembukaan Pejabat Daerah Kalabakan itu mampu menyediakan perkhidmatan pentadbiran yang baik untuk orang ramai.

“Sudah tentu ia akan dapat merancakkan lagi perkembangan Kalabakan sebagai sebuah daerah  yang maju pada masa akan datang.

“Tambahan pula kerajaan negeri telah memperuntukkan lebih 400 hektar tanah di sini untuk dibangunkan menjadi pekan baharu kelak,” katanya.