LoI UMS-SAFODA Benarkan Pensyarah, Pelajar Akses Hutan Untuk Penyelidikan

KOTA KINABALU: Pensyarah dan pelajar Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini diberi akses terhadap 100 ekar hutan milik Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (SAFODA) di Kinarut untuk tujuan pengajaran dan kerja-kerja penyelidikan.

Ia susulan kerjasama yang dibina melalui pemeteraian Surat Niat (LoI) antara FPT UMS dan SAFODA pada Rabu lalu.

FPT diwakili Dekan, Prof. Madya Dr. Normah Awang Besar @ Raffie, manakala SAFODA diwakili Pengurus Besar, Bahrul Razha Chuprat.

Acara yang diadakan sempena Perutusan Tahun Baharu dan 100 Hari Naib Canselor UMS turut disaksikan pemimpin nombor satu universiti itu, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor.

LoI yang ditandatangani turut merangkumi pertukaran maklumat, bahan-bahan saintifik dan penerbitan, selain kerjasama dalam penyelidikan secara bersama dan penempatan latihan industri untuk para pelajar FPT.

Dalam perkembangan berkaitan, FPT dalam acara yang sama turut menerima tajaan sebuah kenderaan pacuan empat roda untuk tujuan penyelidikan dan aktiviti makmal.

Kenderaan berjenama antarabangsa itu diterima dari Yayasan Sime Darby dan disampaikan wakilnya yang juga Pengurus Besar Ladang Sapong dan Melalap, Muslimin Sulta.

Sementara itu, Kasim ketika ditemui merakamkan setinggi penghargaan kepada SAFODA atas kerjasama LoI dan Yayasan Sime Darby atas tajaan kenderaan yang diberikan.

“Selain meningkatkan pengalaman dan pengetahuan para pelajar, ia juga sekali gus memperkasa budaya penyelidikan di UMS.

“Pada masa yang sama, ia turut memberi impak dalam merealisasikan usaha universiti ini ke arah melahirkan masyarakat yang berinovasi sering dengan slogan kita pada tahun ini, Leading towards Innovative Societies,” katanya.