Logo Warisan Dirosakkan Guna Kayu Besbol

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Replika Logo Parti Warisan Sabah (Warisan) yang dipasang di bulatan Jalan PPNS 1 dipecahkan individu tidak bertanggungjawab kira-kira pukul 1.15 pagi tadi.

Perbuatan tersebut disedari pengawal di bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) yang cuba mengejar suspek, namun gagal.

Perbuatan suspek yang menggunakan jaket berwarna hitam dan menaiki motokar berwarna putih bagaimanapun berjaya dirakam oleh pengawal berkenaan.

Turut ditemukan ialah serpihan kayu pemukul besbol yang dipercayai digunakan oleh suspek.

Logo berkenaan dipasang penyokong Warisan Sabtu lalu selepas hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai salah satu cara memeriahkan kempen.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi berkata, pihaknya masih belum menerima laporan tentang kejadian tersebut.